Ahmad Faizal Letak Jawatan Pengerusi PN Perak

LocalPolitics
30 Dec 2025 • 4:20 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, keputusan tersebut dibuat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN Nasional, selain menghormati kuasa pelantikan yang merupakan prerogatif Pengerusi gabungan berkenaan.

“Mengambil maklum keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Nasional serta menghormati bahawa kuasa pelantikan adalah prerogatif Pengerusi, dengan ini saya memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai Pengerusi PN Negeri Perak berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.

Beliau dalam masa sama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta ahli-ahli parti komponen PN Perak atas kerjasama, sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh beliau menggalas amanah tersebut.

Peletakan Jawatan Kepimpinan PN Beri Kesan Berantai

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN yang akan berkuat kuasa pada tarikh sama.

Selain itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN serta Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal turut mengambil tindakan sama dengan meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PN Johor, susulan keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin. – The Malaysian Update

The post Ahmad Faizal Letak Jawatan Pengerusi PN Perak appeared first on The Malaysian Update.