
JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempelawa masyarakat India termasuk pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar gabungan untuk menyertai BN sebagai ahli terus.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-80 di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata dalam Perlembagaan BN terdapat satu klausa yang menyebutkan dengan jelas bahawa gabungan itu boleh mengambil keahlian terus (direct membership) untuk menyertai BN.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata sebagaimana UMNO membuka ruang penyertaan kepada bekas ahlinya dan orang Melayu menerusi program Rumah Bangsa, BN turut membuka ruang kepada masyarakat India untuk menyertai gabungan itu menerusi keahlian terus.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata sudah tiba masanya bekas ahli BN dalam kalangan masyarakat India yang berada di luar gabungan itu untuk kembali semula kepada parti berkenaan.
“Saya minta rakan-rakan India kita yang berada dalam parti-parti di luar BN, cukup-cukuplah, kembalilah kepada kita,” katanya.
Turut hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-80 itu Presiden MIC Tan Sri Dr SA Vigneswaran, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Dr J.Loga Bala Mohan dan Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.






