BN pelawa keahlian terus kepada masyarakat India

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 4:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN pelawa keahlian terus kepada masyarakat India

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) mempelawa masyarakat India termasuk pemimpin politik di luar parti komponen untuk menyertai gabungan itu melalui keahlian terus (direct membership), menjelang Ulang Tahun Ke-10 Malaysian Indian Blueprint, tahun depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu diambil bersempena usaha menyemak semula pelan yang dilancarkan pada 2017 itu dan diselaraskan dengan Agenda Malaysia Biru.

Beliau berkata, MIC dan parti komponen BN yang diterajui pemimpin berketurunan India telah diberi tanggungjawab untuk meneliti semula kerangka pelan berkenaan.

“Dalam perlembagaan parti, terdapat satu klausa yang menyebutkan dengan jelas bahawa kita boleh mengambil direct membership atau ahli-ahli secara langsung untuk menyertai BN.

“Kita ingin menyeru mana-mana individu, para pemimpin di kalangan kepimpinan NGO, kepimpinan politik daripada masyarakat keturunan India di Malaysia untuk kita persilakan bagi menyertai keahlian terus atau direct membership di dalam BN,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan MIC Kali Ke-80 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan.

Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu selari dengan usaha UMNO yang membuka ruang penyertaan menerusi Rumah Bangsa terhadap bekas ahlinya, sebelum ini.

Dalam ucapan perasmian, beliau mengajak pemimpin masyarakat India yang berada dalam parti politik luar BN untuk kembali bersama gabungan itu.

Mengenai Malaysian Indian Blueprint, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin kepentingan masyarakat India akan dibincangkan sebelum akhir tahun ini menerusi Musyawarah Nasional mengenai Agenda Malaysia Biru dengan MIC menerajui perbincangan berkenaan.

Beliau berkata, antara cadangan yang bakal diangkat adalah menggandakan nilai portfolio pelaburan unit amanah terbuka khusus untuk masyarakat India daripada RM1.5 bilion kepada RM3 bilion. – UTUSAN

The post BN pelawa keahlian terus kepada masyarakat India appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved