Ahmad Zahid Presiden UMNO paling tegas, berani cabar PRU16 disegerakan - PKR Kuala Terengganu

LocalPolitics
13 Sep 2026 • 10:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ahmad Zahid Presiden UMNO paling tegas, berani cabar PRU16 disegerakan - PKR Kuala Terengganu
Azan menyifatkan Ahmad Zahid (gambar kiri) seorang Presiden UMNO yang amat berani.

​KUALA TERENGGANU – Ketegasan dan kelantangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak pembubaran Parlimen awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) memperlihatkan keperibadian beliau sebagai seorang pemimpin politik yang sangat berani.

​Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Datuk Azan Ismail menyifatkan, Ahmad Zahid tidak lagi bertindak dalam nada berselindung mahupun berlapik, sebaliknya mempamerkan kepimpinan tertinggi yang tegas sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

​Menurutnya, keberanian Ahmad Zahid kali ini disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa apabila beliau secara terbuka mengemukakan ketetapan parti serta hala tuju kerjasama politik tanpa teragak-agak.

​"Ahmad Zahid menunjukkan beliau seorang Presiden UMNO yang amat berani. Beliau memanfaatkan medan PAU sepenuhnya untuk menyampaikan ultimatum (kata dua) dan ucapan yang begitu keras serta tegas.

​"Jika dilihat pemimpin lain masih bercakap berlapik, beliau tampil sebagai kata pemutus yang tidak boleh dipertikai dalam parti," kata beliau ketika ditemui selepas program Ceramah Kelompok Sedar: Selamatkan Dana Rakyat di Pejabat PKR Kuala Terengganu di sini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mengemukakan dua pilihan kepada kerajaan sama ada mengadakan PRU16 dengan segera atau mengeluarkan Barisan Nasional (BN) daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.

Beliau dilihat turut mencabar pihak berkenaan supaya memenuhi gesaan yang dibuat parti Melayu itu agar mandat dikembalikan kepada rakyat.

Berucap lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya BN diminta keluar daripada Kerajaan Perpaduan, asas sokongan 112 kerusi yang membentuk kerajaan ketika ini tidak lagi wujud, sekali gus memerlukan mandat baharu daripada rakyat.

Ahmad Zahid turut menambah jumlah kerusi yang menyokong Kerajaan Perpaduan ketika ini melebihi majoriti mudah, namun sokongan itu merupakan tambahan kepada asas pembentukan kerajaan yang ada, melibatkan gabungan pelbagai parti.

Sementara itu, ​dalam perkembangan sama, Azan turut meletakkan penilaian tersendiri terhadap Ahmad Zahid berbanding barisan Presiden UMNO terdahulu dari sudut lontaran suara dan pendekatan di pentas politik.

​Beliau menjelaskan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sememangnya seorang yang berani dari segi tindakan politik seperti menyingkirkan lawan politik, namun dari sudut percakapan beliau masih kekal bersuara lembut.

Katanya, Datuk Seri Najib Razak pula tidak memamerkan kelantangan bersuara secara langsung dan keras di atas pentas sebagaimana dizahirkan Ahmad Zahid.

​Bagaimanapun, Azan menggesa agar sokongan serta tekanan politik berkenaan dipandang secara pragmatik oleh semua pihak.

Beliau mengingatkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memegang punca kuasa atau 'suis' pembubaran Parlimen tidak perlu mengikut cabaran tersebut semata-mata untuk membuktikan keberanian.

​"Tunduk kepada desakan untuk membubarkan Parlimen semata-mata kerana dicabar bukanlah satu tindakan berani atau bijak, tetapi tanda ketakutan.

​"Perdana Menteri masih mempunyai sokongan serta keabsahan majoriti yang kukuh. Beliau wajar memanfaatkan kuasa yang ada dengan cara tersendiri untuk mengemudi kestabilan negara tanpa mengikut rentak desakan pembangkang mahupun rakan politik," tambah beliau lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved