Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 1:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar
Ahmad Zahid (dua dari kiri) menghadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap.
Image from: Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas selesai menghadapnTuanku Muhriz di Istana Hinggap.

SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, perkara itu dilakukan ketika menghadap Yang di-Pertuan Besar di Istana Hinggap di sini pada Sabtu.

"Saya baru selesai menghadap Kebawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar dan kami telah mengadakan perbincangan yang panjang lebar. Saya telah mengutus warkah kepada Tuanku dan secara peribadi serta rasmi menyerahkan warkah dan juga watikah.

"Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menyerahkan ketiga-tiga nama itu atas budi bicara, perkenan serta hak mutlak Tuanku untuk memilih salah seorang daripadanya sebagai Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu," katanya selepas sesi menghadap.

**media[3602859]**

Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mendedahkan identiti tiga calon berkenaan.

"Itu hak istana untuk mengumumkan," katanya ketika ditanya mengenai nama-nama yang dikemukakan.

Beliau turut mengesahkan bahawa ketiga-tiga calon yang diserahkan adalah daripada BN.

"Alhamdulillah, semua calon BN," katanya.

Menurut beliau, pihak istana akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelantikan Menteri Besar dalam masa terdekat.

"Tuanku dan pihak istana akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin," ujarnya.

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan negeri, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyaksikan BN memenangi 18 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, kerajaan baharu dijangka dibentuk menerusi kerjasama kedua-dua gabungan itu, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar.

"Atas perkenan Tuanku, kerajaan BN dan PN akan terbentuk sebagai kerajaan baharu bagi Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, beliau berharap semua pihak menghormati proses peralihan pentadbiran negeri dan tidak mendesak mana-mana pihak mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar secara tergesa-gesa.

"Tidak sepatutnya berlaku begitu. Walaupun Menteri Besar baharu mungkin akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat, semuanya adalah sahabat-sahabat kita. Kita mesti mempunyai rasa perikemanusiaan dan beretika untuk menghormati rakan-rakan kita," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di media sosial memaklumkan bahawa sejurus berakhirnya proses pengiraan undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau telah dititah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, di lstana Hinggap, Seremban.

Dalam sesi menghadap tersebut, beliau telah mempersembahkan kepada Tuanku hasil keputusan pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Menurutnya, atas perkenaan Tuanku, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu.

"Barisan Nasional menjunjung kasih atas perkenan Tuanku dan akan melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri serta prinsip kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sembilan.

"Barisan Nasional akan terus menjunjung tinggi, memelihara dan menghormati institusi diraja sebagai payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta teras kepada sistem Raia Berperlembagaan.

"Semoga ALLAH SWT terus melimpahkan rahmat, kebijaksanaan dan inayah-Nya kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam memayungi Negeri Sembilan Darul Khusus serta seluruh rakyatnya. Daulat Tuanku," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved