PRN Negeri Sembilan: 3 Nama Berpotensi Jadi MB Baharu

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 10:41 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Negeri Sembilan: 3 Nama Berpotensi Jadi MB Baharu

SEREMBAN - Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu selepas gabungan itu mengemukakan senarai nama kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Mereka ialah Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin; dan ADUN Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman.

Sumber memaklumkan kepada BH, ketiga-tiga nama tersebut telah dipersembahkan kepada baginda malam tadi untuk dipertimbangkan sebelum keputusan muktamad dibuat.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar dijadual berlangsung pada jam 10.15 pagi ini di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, namun sehingga kini pihak istana masih belum mengumumkan individu yang akan diberi perkenan untuk menerajui pentadbiran negeri.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap bagi menyerahkan senarai calon serta dokumen berkaitan.

Menurut beliau, pemilihan Menteri Besar diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan prerogatif Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan serta perkenan baginda untuk memilih Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mendedahkan identiti calon berkenaan kerana pengumuman rasmi hanya akan dibuat oleh pihak istana.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk mendapat sokongan majoriti apabila BN dan Perikatan Nasional (PN) menguasai 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRN kali ini, BN memenangi 18 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi dan PN sebanyak tujuh kerusi.

Jalaluddin berjaya mempertahankan kerusi DUN Pertang dengan majoriti 3,719 undi, manakala Mohd Asna mengekalkan kerusi Lenggeng selepas memperoleh majoriti 9,994 undi.

Saiful Yazan turut mempertahankan kerusi Johol dengan majoriti 4,383 undi, sekali gus terus diberi kepercayaan oleh pengundi bagi penggal kedua berturut-turut.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seramai 646,084 pengundi atau 72.64 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar keluar mengundi pada PRN Negeri Sembilan ke-16 yang disifatkan berlangsung dalam keadaan aman, telus dan teratur. - Getaran, 2 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved