
KUALA LUMPUR – Lima daripada sembilan pemacu teknologi yang dikenal pasti menerusi Kerangka Kedaulatan Teknologi Negara (NTSF) mempunyai tahap kritikal tertinggi kepada kedaulatan negara serta daya tarikan komersial yang kukuh.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan lima pemacu itu ialah sistem dikuasakan kecerdasan buatan (AI), teknologi sensor termasuk semikonduktor, keselamatan siber dan penyulitan, analitik data raya serta 5G/6G.
“Pemacu teknologi ini sekali gus menjadi tumpuan utama pelaburan dan pembangunan keupayaan tempatan menjelang 2030,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
MOSTI menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai teknologi strategik yang ingin disasarkan negara bagi meningkatkan kemampuan membangunkan dan menguasai teknologi buatan sendiri menjelang 2030 serta ukuran bagi memastikan negara tidak sekadar menjadi pengguna atau pengeluar teknologi milik pihak asing.
Empat lagi pemacu teknologi yang dikenal pasti ialah blockchain, percetakan 3D termaju, teknologi neuro dan bioteknologi.
Menurut kementerian itu, bioteknologi dikategorikan sebagai bidang kritikal yang memerlukan pelaburan awal sektor awam kerana potensi pulangan pasaran masih rendah buat masa ini.
MOSTI memaklumkan kesemua sembilan pemacu teknologi itu berpotensi menghasilkan impak transformatif merentas pelbagai sektor, memperkukuh daya tahan negara dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.
Bagaimanapun, pengenalpastian pemacu teknologi itu akan terus dikemas kini menerusi kaedah technology foresight yang berstruktur dengan mengambil kira antara lain unjuran teknologi global, hala tuju penyelidikan saintifik, kadar pemfailan paten, pelan hala tuju industri, kajian imbasan persekitaran, sesi perundingan dengan pakar bidang serta keutamaan pembangunan negara semasa.
Menurut MOSTI, pemacu teknologi itu akan dipetakan kepada lima bidang tumpuan negara iaitu elektrik dan elektronik, bahan termaju, penjagaan kesihatan dan sains hayat, tenaga boleh diperbaharui serta pertanian dan makanan, bagi memastikan teknologi strategik diterjemahkan kepada aplikasi konkrit dalam bidang kritikal seperti keselamatan makanan, tenaga, kesihatan dan mineral kritikal.
“Senarai ini bersifat dinamik dan akan dinilai semula secara berkala, termasuk bagi teknologi masa hadapan seperti pengkomputeran kuantum dan tenaga pelakuran,” menurut kementerian itu.
Mengenai usaha memastikan negara tidak sekadar menjadi pengguna atau pengeluar teknologi asing, MOSTI memaklumkan antara keutamaan ialah memperkukuh keupayaan membangunkan dan menyesuaikan teknologi AI secara tempatan.
“Laporan foresight menunjukkan bahawa keupayaan tempatan untuk menyesuaikan model AI kepada Bahasa Malaysia serta konteks dan istilah sektor tempatan boleh mengurangkan kebergantungan kepada penyelesaian asing yang bersifat umum,” menurut MOSTI.
Selain itu, ekosistem data dan infrastruktur pengkomputeran negara perlu diperkukuh manakala pembangunan bakat AI tempatan perlu melangkau kemahiran menggunakan aplikasi AI kepada keupayaan membangunkan model, mengurus data, membina penyelesaian berasaskan awan serta mengendalikan aspek keselamatan dan tadbir urus AI.
Pembangunan keupayaan itu turut perlu disokong tadbir urus AI, keselamatan siber dan penggunaan data yang dipercayai bagi memastikan teknologi digunakan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab. – Bernama
The post AI, 5G mempunyai tahap kritikal tertinggi kepada kedaulatan negara appeared first on Kosmo Online.





