5 teknologi kritikal berpotensi bangunkan keupayaan tempatan menjelang 2030 - Parlimen diberitahu

LocalTechnology
6 Oct 2026 • 11:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

5 teknologi kritikal berpotensi bangunkan keupayaan tempatan menjelang 2030 - Parlimen diberitahu Image from: 5 teknologi kritikal berpotensi bangunkan keupayaan tempatan menjelang 2030 - Parlimen diberitahu amree06/10/2026 - 11:11 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt — Lima teknologi dikenal pasti sebagai pemacu kritikal kepada kedaulatan negara dan mempunyai potensi komersial yang kukuh, sekali gus menjadi tumpuan utama pelaburan serta pembangunan keupayaan tempatan Malaysia menjelang 2030.

 

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, lima teknologi itu ialah sistem dijana kecerdasan buatan (AI), teknologi sensor termasuk semikonduktor, keselamatan siber dan penyulitan, analitik data raya serta teknologi telekomunikasi 5G/6G.

 

Menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web rasmi Parlimen, lima pemacu berkenaan akan menjadi fokus utama negara ini bagi memperkukuh keupayaan tempatan dalam membangunkan serta menguasai teknologi sendiri.

 

"Selain lima teknologi berkenaan, empat lagi pemacu teknologi di bawah Kerangka Kedaulatan Teknologi Negara (NTSF) yang dikenal pasti ialah blockchain, percetakan tiga dimensi (3D) termaju, neuroteknologi dan bioteknologi," jelas MOSTI.

 

Jawapan itu diberikan kepada soalan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai teknologi strategik disasarkan negara bagi meningkatkan keupayaan membangunkan teknologi tempatan menjelang 2030, selain mengelakkan Malaysia sekadar pengguna atau pengeluar teknologi milik asing.

 

MOSTI seterusnya berkata, bioteknologi turut dianggap bidang kritikal yang memerlukan pelaburan awal sektor awam memandangkan potensi pulangan pasaran ketika ini masih lagi rendah.

 

Digital_DagangNews2026

 

Kesemua sembilan pemacu teknologi itu namun mempunyai potensi menghasilkan kesan transformatif merentasi pelbagai sektor, selain memperkukuh daya tahan negara dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

 

"Senarai ini bersifat dinamik dan akan dikemas kini secara berkala menerusi proses tinjauan teknologi yang mengambil kira unjuran teknologi global, perkembangan penyelidikan saintifik, kadar pemfailan paten, hala tuju industri, kajian pemantauan serta pandangan pakar," jelasnya.

 

Pemacu teknologi itu turut dipadankan dengan lima bidang tumpuan negara iaitu elektrik dan elektronik, bahan termaju, penjagaan kesihatan dan sains hayat, tenaga boleh diperbaharui (RE) serta pertanian dan makanan, bagi memastikan teknologi strategik diterjemahkan kepada aplikasi dalam sektor kritikal.

 

Dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing, MOSTI berkata pembangunan keupayaan tempatan untuk membangunkan dan menyesuaikan teknologi AI menjadi keutamaan, termasuk keupayaan menyesuaikan model AI dengan bahasa Melayu serta konteks dan istilah sektor tempatan.

 

Selain itu, ekosistem data dan infrastruktur pengkomputeran perlu diperkukuh, manakala pembangunan bakat AI perlu bergerak melangkaui penggunaan aplikasi kepada keupayaan membangunkan model, pengurusan data, rumusan berasaskan awan serta keselamatan dan tadbir urus AI.

 

"MOSTI turut menegaskan usaha membina keupayaan tempatan perlu disokong tadbir urus AI, keselamatan siber dan penggunaan data yang dipercayai bagi memastikan teknologi digunakan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, dengan senarai teknologi itu turut berpotensi diperluas kepada teknologi masa depan seperti pengkomputeran kuantum dan tenaga pelakuran," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved