AI di SBP: Guru dan garis panduan perlu seiring

LocalTechnology
3 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AI di SBP: Guru dan garis panduan perlu seiring

TIDAK lama lagi, semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bakal menjadi perintis penggunaan kecerdasan buatan (AI) menerusi platform AISLE, hasil kerjasama Aras Integrasi dan Yayasan Didik Negara.

Bayangkan seorang murid yang boleh belajar mengikut rentak sendiri, dibantu AI untuk lebih tenang menghadapi tekanan, lebih yakin dan makin minat dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Bukan lagi mimpi tetapi bakal direalisasikan, memang inilah arah dunia sekarang. Kalau digunakan dengan bijak, AI boleh bantu murid yang lemah untuk belajar dan murid yang pandai pula lebih maju ke hadapan.

Cuma, semangat yang baik ini perlu ada kawalannya. Kita tidak boleh biarkan murid guna AI sesuka hati tanpa panduan.

Sebab itu, saya harap pihak kementerian sediakan garis panduan yang jelas, apa yang boleh, apa yang tidak, kandungan yang sesuai ikut umur dan yang paling penting, jaminan data murid selamat dan terlindung.

Teknologi yang bagus pun boleh jadi masalah kalau digunakan tanpa peraturan dan pemantauan.

Satu lagi yang tidak boleh dilupakan ialah guru. Susah nak bawa AI ke bilik darjah kalau gurunya sendiri belum bersedia.

Jadi, guru perlu dilatih, bukan sekadar tahu menekan butang, tapi tahu bagaimana mengajar menggunakan AI, membangunkan prompt yang sesuai untuk carian maklumat, menilai jawapan yang diberi aplikasi AI dan membimbing murid menggunakannya secara betul. Pelaburan ke atas teknologi yang mahal tetapi tiada gunanya jika guru-guru masih tercari-cari caranya yang betul.

Silibus kita pun perlu dikemas kini. Elok kalau literasi AI, kemahiran berfikir untuk menilai maklumat, dan etika digital dijadikan sebahagian daripada pembelajaran, bukan sekadar tambahan hujung buku teks.

Biar murid bukan sekadar pandai guna AI, tapi faham juga bagaimana ia berfungsi dan di mana batasnya.

Mulakan dulu secara kecil di beberapa sekolah, nilai hasilnya, baru diperluaskan. Wujudkan panel pemantau bebas yang ada pakar pendidikan, teknologi dan psikologi kanak-kanak.

Sediakan latihan dan pensijilan AI untuk guru. Pastikan murid di kawasan luar bandar tidak ketinggalan. Jangan lupa libatkan ibu bapa supaya pemantauan berterusan sampai ke rumah.

Saya menyokong penuh langkah membawa AI ke sekolah. Tapi biarlah ia dilaksanakan dengan panduan yang kukuh, guru yang bersedia, dan silibus yang sesuai.

Kalau semua ini seiring, saya percaya AISLE bukan sekadar projek teknologi, tapi benar-benar boleh mengubah wajah pendidikan negara. – UTUSAN

DR. JUAN RIZAL DATUK SA’ARI
UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka

The post AI di SBP: Guru dan garis panduan perlu seiring appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved