AI generatif terus jadi pemacu utama segmen komunikasi data Inari Amertron, kata Kenanga

02/09/2025 - 11:59
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 2 Sept - Prospek jangka pendek Inari Amertron Berhad diunjur positif dengan kecerdasan buatan (AI) generatif terus menjadi pemacu utama segmen komunikasi data, kata Kenanga Research.
Bagaimanapun katanya, pasaran telefon pintar kekal mendatar dan permintaan industri dijangka lemah berikutan pnstrukturan semula tarif global.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi tahun kewangan 2025 (FY25), syarikat merekodkan penurunan hasil sebanyak 8% tahun ke tahun kepada RM1.35 bilion, manakala keuntungan bersih teras susut 21% kepada RM255 juta.
"Prestasi lebih lemah ini sebahagian besarnya disebabkan penurunan jumlah pengeluaran dalam segmen utama dan kerugian tukaran asing sebanyak RM42 juta.
"Segmen frekuensi radio (RF) kekal sebagai penyumbang terbesar kepada hasil (65%), diikuti opto-elektronik (29%) dan produk generik (6%).
"Dari segi pasaran akhir, telefon pintar merangkumi 67% daripada hasil FY25, manakala komunikasi data menyumbang 15%, automotif 8%, industri 5%, dan produk generik 5%," katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research berkata, walaupun prestasi lemah pada FY25, menjangkakan persekitaran yang lebih baik pada FY26 dengan beberapa pemacu pertumbuhan Inari menerusi permintaan transceiver 800G untuk pusat data berasaskan AI.
Katanya, selain itu pengeluaran modul RF bagi telefon pintar baharu sedang berjalan, dengan potensi tambahan daripada cip boleh pakai (wearables) dan kumpulan juga menjadi penguji tunggal bagi SKU tertentu di Malaysia selepas pemindahan mesin ujian daripada pesaing, dengan jumlah dijangka berganda dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan, masih terdapat cabaran tekanan daripada penjajaran semula rantaian bekalan berasaskan tarif, pengalihan pengeluaran ke China dan turun naik kadar tukaran mata wang asing.
"Bagaimanapun, permintaan AI generatif memberikan asas kukuh untuk segmen komunikasi data,” katanya.
Firma penyelidikan mengealkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) RM2.25 sesaham.- DagangNews.com
standard

