Segmen tenaga solar diramal jadi pemacu pertumbuhan BM Greentech, kata penganalisis

22/08/2025 - 16:39
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Segmen tenaga solar diramal menjadi antara pemacu pertumbuhan BM Greentech Berhad pada masa hadapan, kata penganalisis.
Kenanga Research berkata, situasi itu dilihat positif selepas kumpulan itu mengambil alih Plus Xnergy Holding Sdn Bhd yang terlibat dalam penyediaan rumusan tenaga bersih untuk projek komersial, perindustrian, kediaman dan solar (LSS) berskala besar termasuk ladang solar.
Kumpulan PXH memfokus ke arah mempertingkat ekosistem tenaga, yang terdiri, antara lain, penjanaan tenaga, kecekapan tenaga, penyimpanan tenaga dan pengecasan kenderaan elektrik (EV).
"Bagaimanapun, BM Greentech kekal optimis terhadap segmen tenaga solar yang menunjukkan momentum pertumbuhan kukuh, terutamanya selepas pengambilalihan syarikat PXH baru-baru ini.
"Segmen ini dijangka terus berkembang sejajar dengan sasaran kerajaan untuk menjadikan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 70% dalam campuran penjanaan tenaga menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, Phillip Capital berkata, pendapatan 1QFY26 susut 28% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM128 juta, selepas mencatatkan suku tertinggi sebelum ini, berikutan kelewatan dalam penyerahan projek merentasi semua segmen disebabkan oleh masa pengiktirafan yang berbeza.
Bagaimanapun katanya, margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 13.8% disebabkan pengurangan sumbangan daripada segmen solar yang kebiasaannya mencatat margin lebih rendah.
Firma penyelidikan itu berkata, kadar cukai efektif yang lebih rendah turut membantu mengurangkan kesan ke atas penurunan keuntungan bersih.
"Kami menjangkakan momentum pendapatan yang lebih kukuh apabila kemajuan projek CGPP (Program Tenaga Hijau Korporat) meningkat, disertai dengan peluang baharu dalam rawatan air untuk memenuhi permintaan air industri yang semakin meningkat daripada pusat data," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga saranan (TP) RM2.70 manakala Kenanga Research memberikan saranan "market perform" dengan TP RM1.72 sesaham.- DagangNews.com
standard


