AI Malaysia Berhad ditubuh, pacu aspirasi Negara AI 2030

LocalTechnology
28 Jul 2026 • 4:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AI Malaysia Berhad ditubuh, pacu aspirasi Negara AI 2030
Anwar (tengah) merasmikan Majlis Peluncuran AI Malaysia di Menara Cyber Axis, Cyberjaya. Foto: Facebook Kementerian Digital

CYBERJAYA - Kerajaan mengumumkan penubuhan sebuah entiti kecerdasan buatan (AI) kebangsaan di bawah Kementerian Digital, AI Malaysia Berhad bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan agenda AI negara ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI 2030.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penubuhan AI Malaysia Berhad merupakan langkah strategik bagi menyatukan penyelarasan dasar dan pelaksanaan AI di peringkat nasional.

"Berpandukan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, kementerian komited memastikan pembangunan AI negara berteraskan kepercayaan, keselamatan dan tadbir urus yang kukuh.

"Komitmen itu turut diperkukuh melalui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI serta penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa..

Sebelum itu, penubuhan AI Malaysia Berhad terbabit diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di Menara Cyber Axis, Cyberjaya.

Menurut beliau, peluncuran AI Malaysia, pelan tindakan nasional dan institut keselamatan itu mencerminkan kesediaan Malaysia bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, malah muncul sebagai peneraju inovasi AI yang selamat, bertanggungjawab dan diyakini di rantau ini menjelang 2030.

Penubuhan AI Malaysia merupakan penambahbaikan dan penginstitusian rasmi daripada Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang ditubuhkan pada 12 Disember 2024 bagi memacu tranformasi teknologi.

Langkah terbabit selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Kerangka Malaysia Madani yang meletakkan AI sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, transformasi sektor awam dan peningkatan kesejahteraan rakyat secara inklusif.

AI Malaysia akan bertindak sebagai badan induk yang menyelaras dasar dan pelaksanaan AI di peringkat nasional melalui pendekatan ekosistem keseluruhan kerajaan.

Antara tanggungjawab utama AI Malaysia termasuklah memantau pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, membangunkan tadbir urus AI yang dipercayai, memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dan melaksanakan fungsi Institut Keselamatan AI Malaysia.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 sebaai agenda pembinaan negara yang kritikal.

Pelan itu digerakkan melalui mekanisme pelaksanaan berstruktur tinggi yang memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan ekosistem menerusi dua komponen utama iaitu 14 inisiatif sektoral berimpak tinggi dan 14 inisiatif sokongam

Turut diumumkan, penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh keupayaan teknikal dengan memanfaatkan kepakaran daripada kerajaan, industri, akademia dan institusi penyelidikan bagi memastikan penggunaan AI yang selamat di Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved