AI tidak boleh korbankan kredibiliti media

Business & Finance
11 Aug 2026 • 4:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AI tidak boleh korbankan kredibiliti media

KUALA LUMPUR: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dalam landskap media tidak seharusnya mengorbankan kepercayaan dan kredibiliti yang menjadi asas kewartawanan.

Jurulatih Korporat, Perhubungan Media Dalam Komunikasi Krisis, Mustapha Kamil berkata, sama ada media dalam talian, televisyen mahupun radio, aspek kepercayaan dan kredibiliti perlu kekal sebagai keutamaan dalam penyampaian berita kepada masyarakat.

Beliau yang juga bekas Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad berkata, tekanan persaingan yang semakin sengit dalam industri media boleh menyebabkan pematuhan terhadap prinsip kepercayaan dan kredibiliti diketepikan.

“Kepercayaan ialah asas kewartawanan. Tidak kira apa platform media yang digunakan, mengekalkan kepercayaan dan kredibiliti perlu menjadi perkara nombor satu.

“Namun, dalam landskap media yang semakin kompetitif, tekanan semakin tinggi dan kadangkala kita melihat risiko apabila pematuhan kepada prinsip kepercayaan dan kredibiliti mula diletakkan di tempat kedua,” katanya pada Petronas-MPI Lunch Escape 2026 yang bertemakan Credibility in the Age of AI: Navigating the New Frontier di sini hari ini.

Beliau berkata, kepentingan komersial juga tidak boleh mengambil alih tanggungjawab wartawan kepada masyarakat.

“Saya berharap perkara ini tidak menjadi kebiasaan. Saya tidak mahu maklumat atau kepentingan komersial mengambil alih tanggungjawab yang dipikul oleh wartawan kepada masyarakat.

“Ringkasnya, peranan wartawan tidak boleh ditenggelamkan oleh kepentingan komersial,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Free Malaysia Today (FMT), Azeem Abu Bakar berkata, digital twin dalam AI yang dibangunkan berdasarkan cara seseorang berfikir, bekerja dan menyimpan konteks kerja boleh membantu mempercepatkan proses penyediaan bahan.

Katanya, teknologi itu membolehkan perkara yang lazimnya mengambil masa berjam-jam untuk disediakan dilakukan dalam tempoh kira-kira lima minit.

Mengulas mengenai cara untuk melahirkan wartawan berkemahiran tinggi atau ‘super journalist’, organisasi media perlu memberikan tugasan mencabar kepada wartawan muda serta membimbing mereka melalui pengalaman wartawan senior.

“Wartawan berpengalaman mempunyai kelebihan daripada segi rangkaian sumber, pemahaman isu dan keupayaan mengenal pasti corak perkembangan sesuatu perkara.

“Namun, kita tidak mempunyai 20 tahun untuk diberikan kepada setiap wartawan baharu. Sebab itu menjadi tanggungjawab wartawan berpengalaman untuk melatih generasi muda.

“Kita perlu mengenal pasti potensi yang betul dan kemudian memberikan mereka tugasan yang paling mencabar. Kita perlu membenarkan mereka melakukan kesilapan dan kemudian membimbing mereka,” katanya. – UTUSAN

The post AI tidak boleh korbankan kredibiliti media appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved