
Perubahan landskap media hari ini bukan sahaja memperlihatkan kandungan digital yang tertumpu kepada trend semasa tetapi turut menjadi platform bagi mengangkat budaya tempatan.
Antara warisan yang terus mendapat tempat dalam dunia kandungan digital ialah penggunaan loghat tempatan sebagai konten.
Keunikan setiap loghat yang terdapat di negara kita bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian masyarakat malah menjadi sebahagian daripada khazanah bahasa yang perlu terus dipelihara.
Oleh itu, menerusi pendekatan yang lebih santai dan dekat dengan masyarakat penggunaan loghat yang sebelum ini sinonim dalam pertuturan golongan yang lebih berumur kini mampu menarik perhatian khalayak menerusi video pendek di media sosial.
Menurut pencipta kandungan Ainul Imran Kamal, 26, dia berkata, loghat yang diketengahkannya menerusi video pendek bukan hanya untuk hiburan tetapi sebagai satu usaha untuk memperkenalkan keunikan loghat tempatan.
Dikenali menerusi TikTok dengan nama akaun@im.im_ran, dia memilih pendekatan yang menghiburkan agar warisan bahasa tersebut dapat disampaikan dalam cara yang lebih moden, kreatif dan dekat dengan generasi hari ini.
“Setiap loghat membawa identiti yang tersendiri, oleh itu wajarlah saya menggunakan platform yang ada bagi mengetengahkannya dalam gaya yang lebih dekat dengan masyarakat terutama sekali orang muda,” katanya.

Belajar Sebelum Bertutur
Meskipun dikenali ramai menerusi penggunaan loghat Perak hakikatnya Ainul Imran sebenarnya bukan anak jati negeri tersebut.
Lahir di Kluang, Johor dan membesar di Negeri Sembilan seterusnya melanjutkan pengajian di Shah alam sedikit sebanyak membantu Ainul Imran mempelajari beberapa loghat tempatan.
“Sejujurnya, saya bukanlah berasal dari Perak tetapi saya mempelajari loghat ini dan mula bercakap dengan loghat ini secara perlahan-lahan sehinggalah saya fasih.
“Sewaktu saya belajar di Shah Alam, saya duduk di rumah sewa bersama beberapa rakan yang berlainan negeri. Jadi dari mereka saya mempelajari loghat bagi setiap negeri,” katanya.
Sebelum dia dikenali dengan loghat Perak, dia terlebih dahulu menghasilkan kandungan digital menggunakan loghat Pulau Pinang yang menjadi antara video awal yang mendapat perhatian ramai di platform media sosial.
Baginya, menghasilkan kandungan menggunakan loghat tempatan bukan sekadar untuk meniru cara percakapan namun setiap perkataan perlu difahami maknanya termasuk intonasi dan konteks penggunaan perkataan dalam setiap ayat.
“Saya tidak akan terus bercakap sebaliknya saya akan cakap dan praktis dahulu dekat kawan-kawan saya. Sekiranya ada kesalahan tatabahasa mereka akan menegur saya.
“Yang menjadi keutamaan saya ialah apabila saya bercakap saya perlu faham intonasi, maksud serta karakter loghat tersebut agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak,” katanya.
Menurut Ainul Imran, setiap loghat mempunyai identiti dan karakternya yang tersendiri. Jadi wajarlah untuk seseorang meluangkan masa untuk belajar daripada penutur asal dahulu agar keaslian dan keindahan warisan loghat tersebut terus dipelihara.

Menghiburkan Dengan Tanggungjawab
Ainul Imran melihat setiap video yang dihasilkan sebagai satu tanggungjawab untuk memastikan warisan bahasa itu terus hidup dan dikenali khususnya kepada generasi muda.
“Menjadi satu kepuasan bagi saya apabila dapat menghiburkan ramai penonton yang melihat video saya serta banyak menerima reaksi yang positif di ruangan komen rata-ratanya terdiri daripada gen Z,” katanya.
Namun, ada satu kepuasan lain baginya yang sukar digambarkan apabila dia menerima komen daripada penontonnya yang mengaitkan video-videonya dengan kenangan bersama orang tersayang.
Katanya, antara komen yang meninggalkan kesan kepadanya ialah loghat Perak yang digunakannya mengingatkan mereka kepada arwah ibu, nenek dan atuk yang suatu ketika dahulunya mereka bertutur menggunakan loghat yang sama.
Dari situ Ainul Imran sedar bahawa bertutur menggunakan loghat ini bukan sekadar untuk berkomunikasi malah ia menyimpan nilai sentimental yang menghubungkan memori, keluarga serta warisan.
“Apabila ada yang komen di video saya mengatakan mereka teringat kepada arwah opah, arwah mak dan orang tua mereka. Jadi ia membuatkan saya rasa ada tanggungjawab untuk pastikan loghat ini terus hidup,” ujarnya.

Media Sosial Platform Ketengahkan Warisan Bahasa
Ainul Imran berkata, pada peringkat awal menghasilkan kandungan dia memilih bercakap menggunakan beberapa loghat bagi menghasilkan sesuatu yang berbeza daripada video yang lain.
“Pada awalnya, memang sebuah konten, tetapi lama kelamaan saya mula perasan loghat bagi setiap negeri ini memiliki keunikannya tersendiri.
“Bagi saya, loghat ini mahal dan boleh dikategorikan sebagai khazanah negara,” katanya.
Baginya, kandungan digital hanyalah medium manakala matlamat utama adalah memastikan khazanah bahasa tersebut terus dikenali.
The post Imran cipta identiti guna loghat Perak appeared first on Utusan Malaysia.



