
PENINGKATAN penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi robotik dalam pelbagai sektor kini menjadi satu keperluan seiring perkembangan pesat teknologi di seluruh dunia.
Robot tidak lagi dilihat hanya digunakan dalam sektor pembuatan dan industri tetapi kini teknologi itu telah menjadi mesin pintar yang memainkan peranan lebih besar termasuk dalam aspek keselamatan awam serta pengurusan lalu lintas.
China menjadi antara negara yang berada di barisan hadapan dalam pembangunan teknologi apabila mula memperkenalkan robot polis berkuasa AI bagi membantu tugas anggota mengawasi lalu lintas jalan raya.
Robot polis itu diperkenalkan di bandar Wuhu, wilayah Anhui di Timur China baru-baru ini sekali gus telah menarik perhatian orang ramai yang teruja melihat kelibat robot humanoid yang lengkap memakai pakaian seragam polis, vest reflektif dan topi putih menjalankan tugas di persimpangan jalan yang sibuk.
Penampilannya hampir menyerupai anggota polis sebenar, namun memiliki reka bentuk logam moden dengan penampilan gaya futuristik menjadikan ia sebagai tarikan kepada penduduk dan pelancong yang teruja menyaksikan robot humanoid itu menjalankan tugas.

Media Xinhua Net melaporkan, robot yang dikenali sebagai Intelligent Police Unit R001 itu bukan sekadar gimik teknologi tetapi dibangunkan bagi membantu menguruskan aliran trafik dengan lebih cekap.
Robot humanoid tersebut bergerak menggunakan tapak beroda (wheeled mobility base) dan bukan berjalan menggunakan dua kaki seperti manusia.
Menurut anggota polis trafik Wuhu, Jiang Zihao, kehadiran robot humanoid itu secara tidak langsung menjadi pembakar semangat untuk bertugas.
“Saya berasa bersemangat dan teruja apabila mempunyai rakan sekerja yang efisien dan mampu membantu kami bekerja dengan berkesan.
“Robot ini dilengkapi dengan kemampuan AI yang boleh melaksanakan gerak isyarat arahan trafik standard yang disegerakan dengan lampu yang bertukar warna,” katanya.
Robot berkenaan diintegrasikan sepenuhnya dengan sistem lampu isyarat bandar membolehkan ia melakukan isyarat tangan trafik serentak mengikut pertukaran lampu isyarat.

Robot tersebut akan bertindak secara automatik mengeluarkan amaran melalui sistem pembesar suara supaya individu tersebut kembali ke lorong atau mematuhi peraturan jalan raya.
Amaran itu disampaikan secara kendiri oleh robot tanpa campur tangan anggota polis manusia bagi memperlihatkan keupayaan AI dalam membuat pemantauan dan memberikan respons secara masa nyata.
Penyelarasan itu bukan sahaja membantu pengguna jalan raya memahami arahan dengan lebih jelas, malah meningkatkan kelancaran aliran trafik di kawasan berisiko tinggi.
Keupayaan robot itu dipertingkat lagi menerusi penggunaan kamera definisi tinggi serta sistem suara pintar yang digabungkan dengan algoritma AI berskala besar.
Melalui teknologi tersebut, robot dapat mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh penunggang basikal, bermotor atau pejalan kaki.
Sekiranya pelanggaran peraturan dikesan, robot akan memberi amaran secara automatik di lokasi kejadian tanpa memerlukan campur tangan polis lain.
Selain bertugas di satu lokasi tetap Intelligent Police Unit R001 turut mempunyai keupayaan bergerak secara autonomi termasuk boleh diarahkan ke lokasi tertentu mengikut keperluan operasi dan mampu menavigasi laluan sendiri.
Kecanggihan AI juga membolehkan ia berfungsi mengesan kenderaan yang diletakkan secara haram selain menjalankan pemantauan keadaan jalan raya secara berterusan.
Keupayaan ini menjadikan robot berkenaan sebagai aset penting dalam operasi pengawasan bandar yang memerlukan pemantauan sepanjang masa.
Salah satu kelebihan utama penggunaan robot AI ialah keupayaan beroperasi selama 24 jam tanpa mengalami keletihan seperti manusia.
Jiang turut memberitahu robot tersebut dijangka dapat mengurangkan beban tugas anggota polis terutama ketika waktu puncak yang menyaksikan jumlah kenderaan meningkat dengan ketara.
“Robot ini boleh bertugas ketika cuaca ekstrem seperti hujan lebat atau suhu yang terlalu tinggi bagi memastikan pemantauan trafik dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Usaha memperkenalkan robot humanoid ini mencerminkan komitmen negara dalam memperluas penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan, keselamatan jalan raya dan penyampaian perkhidmatan awam kepada masyarakat,” tambahnya.
Penggunaan robot polis trafik di Wuhu bukanlah inisiatif terpencil tetapi turut mula digunakan di beberapa bandar lain sekali gus memanfaatkan teknologi robotik dalam tugasan penguatkuasaan.
Pelaksanaan robot polis menjadi sebahagian daripada strategi China dalam membangunkan gabungan industri AI dengan robot humanoid yang mampu berinteraksi secara langsung dengan persekitaran.
Perkembangan ini membuktikan bahawa robot berkuasa AI bukan lagi sekadar konsep masa depan sebaliknya menjadi sebahagian daripada penyelesaian praktikal dalam kehidupan moden.
Walaupun kehadiran robot tidak dijangka untuk menggantikan sepenuhnya peranan manusia, teknologi tersebut mampu menjadi pembantu yang meningkatkan kecekapan, keselamatan dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
Dengan kemajuan AI yang semakin pesat, penggunaan robot dalam pelbagai bidang dijangka terus berkembang dan membuka lembaran baharu dalam cara pengurusan bandar-bandar pintar di seluruh dunia.
The post ‘RoboCop’ polis trafik wajah baharu kawal lalu lintas appeared first on Kosmo Digital.




