Kes lemas jatuh longkang: MB arah siasatan, tingkat keselamatan kawasan berisiko

LocalPolitics
4 May 2026 • 1:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes lemas jatuh longkang: MB arah siasatan, tingkat keselamatan kawasan berisiko
Amirudin (dua dari kiri) melakukan simbolik perasmian sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, pada Isnin.

SHAH ALAM – Dua kejadian kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang hingga membawa kepada insiden lemas di Selangor menimbulkan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan persekitaran, khususnya ketika cuaca hujan lebat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya memandang berat kedua-dua insiden berkenaan dan mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta langkah penambahbaikan yang perlu diambil.

Menurutnya, kes pertama membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, semalam.

"Maklumat awal mendapati mangsa dipercayai berada di kawasan berkenaan bersama beberapa individu lain sebelum kejadian berlaku, namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Amirudin berkata, satu lagi kejadian membabitkan kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras sebelum mayatnya ditemukan di Sungai Langat.

"Kita masih meneliti butiran penuh kejadian sama ada mangsa bermain di kawasan itu atau terjatuh ketika mengambil bola dan sebagainya,” katanya.

Beliau menegaskan kedua-dua kejadian itu menunjukkan wujud kelemahan dari segi pemantauan dan tahap keselamatan di kawasan berisiko termasuk longkang serta sistem perparitan.

"Isu keselamatan longkang memang perlu diberi perhatian dan PBT (pihak berkuasa tempatan) akan mengambil tindakan terhadap kawasan di bawah seliaan mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, aspek keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat.

"Bukan ibu bapa sahaja, tetapi masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memastikan kanak-kanak tidak bermain di kawasan berbahaya terutama ketika hujan," jelas beliau.

Menurutnya, bagi kawasan sungai yang luas dan sukar dikawal sepenuhnya, pendekatan seperti mewujudkan zon penampan atau kawasan larangan perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Langkah pencegahan perlu dipertingkatkan supaya insiden seumpama ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan," tambah beliau.

Sementara itu, katanya, status Hutan Simpan Ayer Hitam, Kinrara Puchong kekal seperti sedia ada dan dakwaan yang mengaitkan kawasan itu sebagai telah digazetkan atau terjejas adalah tidak tepat.

Beliau berkata, perkara berkenaan masih dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), namun setakat ini tiada perubahan terhadap status hutan simpan berkenaan.

"Kita sedang tunggu kertas (MMKN) sebab isu yang dibangkitkan penduduk adalah berkaitan laluan masuk melalui kawasan itu.

"Kalau setakat laluan masuk, saya tak risau dan kita boleh uruskan dengan pihak berkaitan," jelas beliau.

Mengulas dakwaan terdapat pihak yang tidak dipanggil dalam sesi libat urus, Amirudin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil rasmi penduduk termasuk persatuan penduduk (RA), pihak masjid dan beberapa persatuan lain.

"Kalau mereka kata tidak dipanggil, saya sudah jumpa wakil rasmi. Saya rasa tiada isu kerana perkara sama sudah saya terangkan kepada mereka," jelas beliau.

Amirudin turut menjelaskan isu tanah berkenaan mempunyai sejarah panjang termasuk perwartaan pada 1926, perjanjian pada 2012 serta penyelesaian di peringkat mahkamah pada 2017 dan 2019.

Katanya, tuntutan penduduk sebelum ini lebih kepada permintaan laluan masuk serta jaminan tiada pembangunan akan dilakukan di kawasan berkenaan.

"Itu permintaan mereka dan kerajaan negeri sebagai pemilik tanah berdasarkan keputusan mahkamah akan mempertimbangkan perkara tersebut mengikut saluran yang betul," tambah beliau.