AIM terima peruntukan tambahan dalam Belanjawan

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 7:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AIM terima peruntukan tambahan dalam Belanjawan

PORT DICKSON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menyalurkan peruntukan tambahan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerusi Belanjawan pada awal Oktober ini.

Beliau berkata, keputusan untuk menambah peruntukan itu dibuat berdasarkan komitmen kerajaan dalam memastikan AIM terus berperanan sebagai institusi penting yang membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan memperkasa usahawan wanita.

Tegasnya, bantuan tersebut bukan bermotifkan kepentingan politik atau pilihan raya, sebaliknya dirancang mengikut keupayaan kewangan kerajaan.

“Oleh kerana, hari ini di Negeri Sembilan saya tidak boleh umum peruntukan baharu, awal Oktober ini akan ada peruntukan khas untuk Amanah Ikhtiar dalam Belanjawan dan ini akan saya teruskan, insya-Allah.

“Amanah Ikhtiar ini seperti keluarga. Kita hendak buat keputusan ini, saya kata bukan masa pilihan raya. Masa kita ada kelapangan, boleh lakukan. Saya bukan datang hendak janji, sejak 2023, 2024 dan 2025 kita sudah bagi (peruntukan).

“Jaga Amanah Ikhtiar ini baik-baik, jayakan dan selagi saya ada amanah memandu kerajaan ini, saya tidak akan lupa peranannya. Dalam setiap belanjawan, saya akan bagi perhatian, saya akan tingkatkan kerjasama dan bantuan untuk Amanah Ikhtiar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Karnival Sahabat Usahawan Madani di Pantai Batu 1, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut berharap rakyat di negeri ini terus memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada esok.

Katanya, ia bagi memastikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat diteruskan demi manfaat rakyat.

Beliau berkata, keselarasan pentadbiran antara kedua-dua kerajaan penting dalam memudahkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan termasuk inisiatif AIM, yang sentiasa mendapat sokongan kerajaan negeri.

“Saya harap wanita-wanita di Negeri Sembilan, bagilah kerjasama supaya Kerajaan Madani boleh jalan dengan begitu baik, baik Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun yang banyak membantu saya dalam meluluskan program Amanah Ikhtiar di peringkat Pusat dan Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN

The post AIM terima peruntukan tambahan dalam Belanjawan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved