
Di gelanggang media sosial, ramai yang masih berbicara tentang pemilihan penyanyi dan komposer Aina Abdul mewakili negara ke pentas berprestij Eurovision Asia 2026.
Pertandingan yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November depan itu meletakkan nama Malaysia kembali dalam perbualan peminat muzik serantau.
Tumpuan kini terarah kepada persiapan Aina menjelang detik yang boleh menjadi penanda aras baharu buat industri muzik tempatan.
Sebagaimana besar tanggungjawab dipikul Aina, besar juga harapan rakyat Malaysia untuk melihat dia membawa pulang piala kemenangan. Ramai melihat penyanyi itu memiliki pakej lengkap daripada vokal, penulisan lagu sehinggalah keupayaan mencipta persembahan yang meninggalkan kesan.
Dalam pada ramai menyokong, ada juga suara sumbang yang mempertikaikan kelayakan pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani ke pentas tersebut. Kritikan itu pantas mencetuskan perdebatan tentang kriteria sebenar yang perlu ada pada wakil negara.
Ada yang merasakan penyanyi lebih senior seperti Jaclyn Victor atau Shila Amzah lebih layak mewakili negara.
Sebahagian pihak berpendapat, pemilihan Aina wajar dinilai berdasarkan rekod seninya, bukan semata-mata cita rasa peribadi. Bagi mereka, pertandingan antarabangsa menuntut artis yang mampu menggabungkan mutu vokal, kreativiti dan identiti tersendiri.
Dengan fesyen yang sangat menonjol, ditambah pula Aina seorang artis bertudung yang jarang-jarang diangkat di pertandingan itu semestinya menjadi kelebihan buat dirinya di pentas terbabit.
Rakan seperjuangan, Hael Husaini yakin pelantun lagu Sumpah itu mampu membanggakan negara di pertandingan itu.
“Pendapat peribadi saya, pemilihan Aina Abdul sangat tepat untuk Eurovision Asia. She will do well. Memang dia punya forte,” kata Hael.
Hakikatnya, pentas seperti Eurovision Asia bukan sekadar pertandingan nyanyian. Ia turut menguji kebijaksanaan peserta menterjemahkan budaya dan identiti negara dalam persembahan yang mampu menambat hati penonton serta juri daripada pelbagai latar belakang.
Cabaran itu bukan sesuatu yang asing buat Aina. Sepanjang kariernya, dia dikenali sebagai penghibur yang berani bereksperimen dengan konsep pentas, selain konsisten menampilkan vokal yang menjadi kekuatan utamanya.
Perdebatan di media sosial juga menunjukkan satu perkara, rakyat Malaysia masih mengambil berat tentang siapa yang membawa Jalur Gemilang ke pentas dunia. Perbezaan pandangan itu lumrah, namun sokongan yang membina pastinya lebih bermakna daripada kecaman yang tidak berkesudahan.
Kini, tumpuan sepatutnya beralih daripada polemik pemilihan kepada persiapan menghadapi pertandingan. Aina memerlukan ruang untuk memberi fokus kepada latihan, penyusunan persembahan dan strategi yang mampu menyerlahkan keunikan Malaysia.
Apabila tirai Eurovision Asia 2026 dibuka di Bangkok nanti, nama Aina Abdul bukan lagi sekadar mewakili dirinya, tetapi turut membawa harapan jutaan rakyat Malaysia.
Keputusan akhirnya hanya akan ditentukan di pentas pertandingan, namun usaha dan dedikasi yang dipamerkan sepanjang perjalanan itulah yang akan menjadi ukuran sebenar.
“Sama ada diterima atau tidak, sekurang-kurangnya saya dapat berkongsi seni dan visi saya sebagai seorang artis,” kata Aina.
The post Aina Abdul ada kelebihan di Eurovision Asia appeared first on Kosmo Digital.




