
PETALING JAYA: Penyanyi, Aina Abdul menyifatkan pertempurannya di pentas mega Anugerah Juara Lagu (AJL) selama tujuh tahun merupakan perjalanan yang sangat indah dalam kerjaya seninya.
Menurut Aina, segala penat lelah dan kreativiti yang ditonjolkan dalam setiap persembahan sesuatu yang berbaloi biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai kritikan dari penonton.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kerana jadikan tujuh tahun saya di AJL penuh bermakna. Di pentas inilah, saya dapat berkarya sepenuh hati Aina.
“Sama ada diterima ataupun tidak, sekurang-kurangnya saya dapat berkongsi visi dan seni saya. Saya puas,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, Aina turut menasihatkan agar setiap individu harus terus mengejar impian yang membahagiakan kehidupan dan tegas dengan prinsip diri.
“Lakukan apa yang buat kamu bahagia, bukan apa yang orang lain fikir awak perlu buat. Kekalkan prinsip itu. Terima kasih. Kalau ada rezeki kita jumpa lagi,” tulisnya.
Pada Sabtu lalu, Aina yang mempertandingkan lagu Kamu hasil ciptaannya sepenuhnya berjaya merangkul trofi Persembahan Terbaik AJL40 dan terpilih sebagai penyanyi yang bakal mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia.
Aina kali pertama mula bertanding di pentas berprestij itu pada AJL 34 menerusi lagu Sumpah sekali gus menjadi pembuka rezekinya untuk mempertaruhkam karya lain setiap tahun dengan persembahan yang luar biasa.
The post Sama ada diterima ataupun tidak, saya puas – Aina Abdul appeared first on Utusan Malaysia.






