
INANAM: Kemarau berpanjangan sejak awal tahun ini menjejaskan bekalan air lebih 100 penduduk kampung yang menggunakan sistem air graviti, berikutan air di tadahan Sungai Kiapad semakin berkurangan.
Penjaga sistem air graviti Yami Baga berkata, keadaan cuaca kering sekarang menyebabkan air sungai semakin kering dan jika ini berterusan, penduduk yang terjejas tidak akan mendapat bekalan air yang mencukupi.
“Hujan sekejap pada Rabu tidak banyak memberikan air kepada sumber air graviti Sungai Kiapad, Kionsom di sini. Air sungai kini semakin kering kerana kurang air hujan sejak tiga bulan yang lalu,” katanya kepada Harian Ekspres pada Khamis.
Yami adalah penjaga paip air kepada penduduk di Kampung Kionsom, Talimakas, Korumbian dan Kionsom Lama. Ada sebanyak 60 rumah yang menerima bekalan daripada sumber air graviti di sini.

