Paip pecah: 130,790 pengguna di P. Pinang mula terima bekalan air

14 Oct 2026 • 12:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Paip pecah: 130,790 pengguna di P. Pinang mula terima bekalan air

GEORGE TOWN – Seramai 130,790 pengguna air di Pulau Pinang yang terjejas akibat kejadian paip pecah di Kampung Lokan, Seberang Perai Utara (SPU) dekat sini, kelmarin mula menerima bekalan air secara berperingkat, petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, sebanyak 96.67 peratus daripada pengguna terjejas telah kembali menikmati bekalan air seperti biasa setakat pukul 7 pagi ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan paip berdiameter 300 milimeter yang pecah di Kampung Lokan itu selesai pada pukul 4 petang semalam.

“Protokol Pelan Respons Kecemasan (ERP) PBAPP telah diaktifkan bagi memastikan tindakan segera diambil. Kerja-kerja pembaikan selesai pada pukul 4 petang semalam.

“Sehingga pukul 7 pagi hari ini, perkhidmatan bekalan air telah kembali pulih seperti biasa bagi 96.67 peratus pengguna yang terjejas,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kejadian yang dikesan berlaku pada pukul 11.30 malam kelmarin itu turut menyebabkan banjir berlaku di kampung berkenaan.

“Bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan, PBAPP terpaksa menghentikan sementara operasi paip utama berdiameter 1,350 milimeter yang menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke bahagian pulau melalui saluran paip dasar laut berkembar.

“Tindakan itu menyebabkan jumlah air yang dipam ke bahagian pulau berkurangan buat sementara waktu,” katanya.

Beliau memberitahu, gangguan bekalan air tidak berjadual itu menjejaskan pengguna di Seberang Perai Utara, Daerah Barat Daya dan Daerah Timur Laut, termasuk kilang-kilang yang beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas. – KOSMO! ONLINE

The post Paip pecah: 130,790 pengguna di P. Pinang mula terima bekalan air appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved