Air mata berderai! Dicky infak RM3,000 hasil gift TikTok, abang pomen sedekah balik. 'Ayah sanggup buat apa sahaja untuk anak'

22 Apr 2026 • 11:16 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Air mata berderai! Dicky infak RM3,000 hasil gift TikTok, abang pomen sedekah balik. 'Ayah sanggup buat apa sahaja untuk anak'

BARU-baru ini nama pemuda berbangsa Cina, Dicky Yau menyentuh hati warganet.

Bapa tunggal kepada seorang cahaya mata itu tular selepas kisahnya memiliki duit cukup-cukup untuk membayar kos membaiki motosikal  rosak. Video yang dikongsikan akaun Minyak Hitam Jalanan itu meraih sebanyak 6.6 juta tontonan.

Dicky yang kemudian membuat siaran langsung di TikTok telah menerima banyak ‘gift’ hasil pemberian ramai warganet  memaklumkan mahu menyerahkan wang hasil ‘gift’ berkenaan kepada  mekanik berkenaan, Mohd Yusof Mohd untuk membalas jasa.

Ujarnya, keputusan itu dibuat agar mekanik berkenaan itu dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan.

Image from: Air mata berderai! Dicky infak RM3,000 hasil gift TikTok, abang pomen sedekah balik. 'Ayah sanggup buat apa sahaja untuk anak'

“Sesiapa yang bagi gift di TikTok live ini, saya akan keluarkan duit dan duit itu saya akan bagi kepada abang itu supaya dia dapat bantu pula orang lain.

“Minggu depan saya nak cari abang (pomen) tu dan berjumpa dengan dia. Terima kasih semua,” kongsinya.

Dalam perkembangan terbaharu, kedua-dua mereka telah bertemu pada Selasa dan Dicky menyerahkan wang tersebut kepada Mohd Yusof.

Bagaimanapun, Mohd Yusof telah menolak pemberian itu dan mengakui pertolongan yang dihulurkan sebelum ini dilakukan dengan ikhlas tanpa mahukan balasan.

"Daripada gift live TikTok, dia mendapat sekitar RM5,000 hingga RM6,000. Separuh daripada jumlah itu dia janji hendak berikan kepada  saya untuk infak. 

"Abang ini telah berikan kepada saya dan duit ini juga berjumlah RM3,000, saya infak semula kepadanya. Untuk sekolahkan anak," katanya.

Dicky yang pada awal berkeras mahu wang berkenaan diterima Mohd Yusof akhirnya reda menerima pemberian itu.

"Duit ini saya serahkan kepada Dicky kerana ia diperlukan anaknya untuk bersekolah dan meneruskan hidup. 

"Saya tidak mengambil kesempatan dan telah membantu dengan ikhlas," kongsinya.

Image from: Air mata berderai! Dicky infak RM3,000 hasil gift TikTok, abang pomen sedekah balik. 'Ayah sanggup buat apa sahaja untuk anak'

Kata Mohd Yusof, dia tidak berfikir panjang untuk menolak wang itu atas faktor kesukaran yang dihadapi Dicky sebagai seorang bapa yang membesarkan anaknya.

"Dia (Dicky) call saya pagi semalam untuk bagi duit yang dia cakap dalam live dapat gift, ini dia akan bagi saya untuk saya tolong orang lain.

"Selepas itu dia ada cakap dengan saya, 'Abang, saya ambil sedikit untuk anak hendak sekolah di kampung.'

"Saya fikirkan semula, saya ambil duit yang dia bagi dan saya beri semula untuk anaknya pula, untuk dia meneruskan hidup.

"Seorang ayah sanggup buat apa sahaja untuk anaknya, dia ada anak, saya pun ada anak, tak salah kita tolong-menolong," kongsinya.

Hubungan yang baik antara keduanya meruntun hati warganet. 

Apatah lagi apabila Dicky benar-benar menyerahkan wang itu kepada Mohd Yusof kerana ingin membantu orang lain biarpun dia sendiri berdepan kesukaran.

"Hati kau orang berdua sangat mulialah, akak tabik spring. Semoga dilimpahi rezeki selalu seperti air sungai dalam syurga"

"Dua-duanya  bapa, mesti faham antara satu sama lain. Susahnya mencari duit untuk keluarga."

"Thank you for showing the whole Malaysia apa itu kasih sayang, apa itu saling tolong-menolong dalam keadaan yang sedang mencabar kini. Semoga rezeki melimpah ke atas kedua dua insan ini."

Sumber: TikTok