
PETALING JAYA: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Kristian St. Patrick, Kampung Semadang, Padawan, Sarawak yang menyaksikan pengebumian seorang mangsa nahas helikopter terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Debra Moset, hari ini.
Debra, 40, merupakan seorang daripada lima individu yang berada dalam helikopter petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas pada Selasa lalu.
Wajah sugul dengan linangan air mata jelas keliatan di raut wajah dua anaknya iaitu Euodia Then Suling, 15, dan Eugene Then Kuling, 12, yang mengiringi pengebumian ibu mereka.
Suasana serupa juga turut disaksikan pada upacara penghormatan terakhir suami mendiang, John Then Hua Ken, 43, dan ibunya, Renog Rasas, 71, serta ahli keluarga lain yang hadir.
Rakan setugas mendiang dari Kementerian Kesihatan (KKM) turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir, selain berkongsi kesedihan bersama keluarga yang ditinggalkan.
Selasa lalu, negara dikejutkan dengan nahas helikopter FDS terhempas ketika dalam perjalanan pulang ke Long Lellang mengakibat lima individu termasuk Debra terkorban.
Insiden tragis itu turut mengorbankan juruterbang helikopter, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33; Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Alexson Adit Henry, 31; dan jururawat, Jessie Paya Jok, 40. – UTUSAN
The post Air mata iringi perjalanan terakhir jururawat nahas helikopter appeared first on Utusan Malaysia.




