'Saya nak jadi doktor sebab mami' - Kerajaan Sarawak taja anak jururawat Debra hingga tamat pengajian perubatan

LocalHealth & Fitness
14 Sep 2026 • 10:36 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Saya nak jadi doktor sebab mami' - Kerajaan Sarawak taja anak jururawat Debra hingga tamat pengajian perubatan

TRAGEDI helikopter terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram menyaksikan pemergian jururawat Debra Moset yang belum sempat melihat anak menggapai cita-cita sebagai doktor perubatan.

Anak sulung, Euodia Then Suling, 15, berkata, dia dan ibunya pernah merancang untuk bekerja bersama selepas dia menjadi doktor suatu hari nanti.

“Saya nak jadi doktor sebab saya terinspirasi daripada dia. Kami pernah merancang untuk bekerjasama dan berada di tempat kerja yang sama,” katanya.

Remaja itu juga sanggup melupakan impian bergelar cef selepas melihat ibunya membantu orang ramai sekali gus mengikuti jejak langkah mendiang dalam bidang perubatan.

Image from: 'Saya nak jadi doktor sebab mami' - Kerajaan Sarawak taja anak jururawat Debra hingga tamat pengajian perubatan
Foto: Ihsan Suara Sarawak

“Saya tengok mami banyak bantu orang. Jadi saya rasa nak juga jadi macam dia, saya nak bantu orang ramai.

“Saya memang suka sangat dengan sains dan pernah beritahu mak saya tentang minat itu. Mami kemudian buat permohonan untuk saya belajar di sekolah sains,” katanya.

Jika dahulu akan bertemu setiap kali Debra pulang ke Padawan, kini pelukan ibunya hanya tinggal kenangan.

Image from: 'Saya nak jadi doktor sebab mami' - Kerajaan Sarawak taja anak jururawat Debra hingga tamat pengajian perubatan

Kali terakhir Euodia bersama ibunya ialah pada 3 September lalu ketika mendiang pulang sebelum kembali bertugas di Miri.

Malah pada hari kejadian, Euodia sempat menghubungi ibunya pada jam 2.29 petang untuk bertanya sama ada mendiang akan pulang sempena hari jadinya pada Januari depan, namun mesej itu tidak sempat dibalas.

“Saya menghantar mesej kepadanya dia seminit selepas dia terhempas pada 3.27 petang. Tapi tidak sempat balas, cuma satu tanda.

“Pada mulanya saya menangis dan tidak percaya mak sudah tiada. Saya ingatkan dia masih hidup sebab ada orang kata dia sempat melompat,” katanya.

Mengenang keperibadian ibu tersayang, Euodia yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penrissen No.1 itu berkata, mendiang Debra tegas, mementingkan kebersihan, penyayang dan tidak terlalu mengongkong cahaya mata.

Image from: 'Saya nak jadi doktor sebab mami' - Kerajaan Sarawak taja anak jururawat Debra hingga tamat pengajian perubatan
Foto: Ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak

Antara pesanan yang paling diingatinya ialah belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlalu gementar ketika menghadapi peperiksaan.

Lebih memilukan, Euodia sempat berkongsi momen menikmati masakan Debra yang menjadi kegemarannya iaitu ayam masak kicap.

“Pada 3 September, saya pesan kepada mami, ‘Kakak nak makan ayam kicap’ sebab ayam kicap dia memang paling sedap. Dia terus buat.

“Itu memori yang paling susah dilupakan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan Sarawak akan menanggung kos pendidikan Euodia sehingga beliau berjaya bergelar doktor.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau membaca mengenai keazaman Euodia untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi doktor bagi meneruskan pengorbanan mendiang ibunya.

Image from: 'Saya nak jadi doktor sebab mami' - Kerajaan Sarawak taja anak jururawat Debra hingga tamat pengajian perubatan
Foto: Ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak

“Hari ini saya membaca mengenai seorang anak yang kehilangan ibunya. Ibunya bernama Debra dan merupakan seorang jururawat (yang terkorban dalam nahas). Anak itu berkata dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi doktor dan meneruskan pengorbanan ibunya.

“Kepada anaknya, Euodia, Kerajaan Sarawak akan menanggung kos pendidikannya sehingga dia menjadi doktor. Bantuan yang sama juga akan diberikan kepada anak-anak mangsa lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara pada Ahad.

Menurut Abang Johari, kehilangan ibu atau bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, namun Kerajaan Sarawak akan melaksanakan tanggungjawabnya untuk membantu keluarga yang terjejas akibat tragedi berkenaan.

Sumber: Astro AwaniUtusan Borneo, TikTok Suara Sarawak

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved