Air pasang besar: Penduduk Kuala Langat dinasihat patuh arahan

LocalEnvironment
23 Nov 2026 • 8:40 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Air pasang besar: Penduduk Kuala Langat dinasihat patuh arahan

KUALA LANGAT, 23 NOV: Penduduk Kuala Langat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang fenomena air pasang besar yang bermula hari ini.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata beberapa penempatan rendah berhampiran pesisir pantai dijangka terjejas sekiranya berlaku hujan lebat.

“Saya mahu nasihatkan penduduk supaya berjaga-jaga terutamanya kanak-kanak dan warga emas. Kita tidak mahu ada perkara tidak diingini berlaku. Barangan boleh diganti tetapi nyawa tidak boleh diganti.

“Jadi saya minta penduduk yang tinggal di pesisiran pantai supaya sentiasa berjaga-jaga dan waspada, sentiasa mendengar berita daripada Kerajaan Negeri untuk berpindah atau sebagainya demi menjaga keselamatan kita,” katanya.

Image from: Air pasang besar: Penduduk Kuala Langat dinasihat patuh arahan
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah daripada TNB sempena Sambutan Deepavali DUN Banting di Ladang Sungai Sedu pada 22 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui pada sambutan Hari Deepavali peringkat DUN Banting yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung berbilang kaum di Ladang Sungai Sedu di sini, malam tadi.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan fenomena air pasang besar diramal berlaku pada 22 hingga 27 November, dengan paras air laut tertinggi mencecah 5.3 meter pada 25 November.

Antara kawasan dijangka terjejas ialah pesisir pantai di Sepang, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa persiapan di kawasan berisiko diteliti segera, terutama jika fenomena itu berlaku serentak dengan hujan lebat.

Beliau berkata keutamaan diberikan kepada operasi mengepam air dari kawasan kediaman serta pemantauan keadaan sungai dan paras air laut bagi mengelakkan banjir bertambah buruk.

Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Bencana Daerah (DDOC) Klang di 03-3382 9292 dan Kuala Langat di 03-3182 2565.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved