
KUALA SELANGOR, 18 NOV: Seramai 346 mangsa daripada 86 keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang yang dibuka sejak 5 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata pihak berkuasa belum bercadang menutup PPS berkenaan meskipun paras air mula surut kerana pemantauan masih perlu dilakukan bagi mengelakkan banjir berulang.
Menurutnya, pemantauan terutama pada setiap petang tertumpu kepada keadaan hujan dan keupayaan sistem perparitan di sekitar Parit Mahang menampung aliran air.

“Walaupun paras air sudah mula surut, kita belum bercadang menutup PPS ini kerana perlu memastikan sistem perparitan mampu menampung aliran air supaya tidak melimpah semula ke kediaman penduduk.
“Atas faktor keselamatan, kita meminta penduduk terus kekal di PPS sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika ditemui Media Selangor di SK Parit Mahang, Ijok, hari ini.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat mangsa banjir mangsa banjir di PPS berkenaan.

Mohd Raiz berkata, banjir yang melanda kawasan itu berpunca daripada sistem perparitan yang dinaiki air sehingga menyebabkan kediaman penduduk terjejas.
PPS SK Parit Mahang merupakan antara tujuh PPS di daerah Kuala Selangor yang masih beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.






