AirAsia anjur Hari Kelestarian pertama untuk pacu industri penerbangan mampan

LocalBusiness & Finance
27 Jun 2023 • 4:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia anjur Hari Kelestarian pertama untuk pacu industri penerbangan mampan

zulfadli

27/06/2023 - 16:01

KUALA LUMPUR 27 Jun - AirAsia membuka lembaran baharu dalam usahanya untuk memacu penglibatan industri dan kerjasama lebih besar dengan menganjurkan Hari Kelestarian pertamanya, bertemakan ‘Melaksanakan Kelebihan Dengan Kekurangan’.

Ketua Pegawai Kelestarian Capital A, Yap Mun Ching berkata, acara tersebut memfokuskan kepada inisiatif AirAsia ke arah penyahkarbonan, serta cabaran dan peluang dalam pelaksanaan strategi ini.

Katanya, hari ini menandakan kali pertama pihaknya membawa semua pihak berkepentingan industri utama daripada pegawai kerajaan, pengawal selia, institusi kewangan, penganalisis penerbangan, rakan kongsi perniagaan dan media, untuk menekankan pemahaman mereka tentang selok-belok kelestarian dalam industri penerbangan.

"Dalam pada kami memperkasakan semula perkhidmatan selepas pandemik, kami turut memperluas dan memperdalam aspek kelestarian dengan memasukkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) ke dalam segmen strategik utama kami supaya kami pulih dengan lebih kukuh dan lebih baik.

"Memandangkan industri penerbangan merupakan sektor yang akan terus mendapat permintaan kukuh, penyahkarbonan dalam industri penerbangan memerlukan usaha kolaboratif bukan sahaja daripada syarikat penerbangan, malah daripada semua pihak berkepentingan industri jika kita ingin mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

"Hampir setiap hari media massa melaporkan bahawa dunia berkemungkinan mengalami ketandusan alam sekitar lebih awal daripada jangkaan, justeru, ia memerlukan tindakan segera oleh semua pihak untuk merealisasikan dan memudahkan penyelesaian yang diperlukan oleh syarikat penerbangan untuk mengurangkan pelepasan karbonnya," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, acara tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Penasihat Kelestarian AAAGL, Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

image is not available
Yap Mun Ching

Barisan panel yang hadir terdiri daripada pakar teknikal AirAsia yang turut berkongsi bagaimana AirAsia memfaktorkan pertimbangan ESG melalui penggunaan aset pesawatnya, prospek untuk beralih kepada bahan api bio lebih hijau, peluang untuk pembiayaan ESG dan pengurusan bakat untuk memenuhi keperluan pertumbuhan masa hadapan.

Dalam perkongsiannya mengenai pelan sifar bersih AirAsia, Yap berkata, semua syarikat penerbangan mempunyai empat pilihan untuk penyahkarbonan, iaitu sama ada menaik taraf pesawat mereka, meningkatkan pelaksanaan prosedur operasi hijau, beralih kepada bahan api bio dan mengimbangi baki pelepasan.

Katanya, keutamaan AirAsia adalah menaik taraf pesawatnya kepada jenis A321neo, yang diiktiraf sebagai pesawat dengan penjimatan bahan api terbaik di pasaran hari ini, serta dalam mengembangkan dan memperdalam program kecekapan bahan api terkemukanya.

image is not available

"Sama ada kita menggunakan bahan api fosil atau bahan api bio, apa yang harus diutamakan adalah sama ada kita menggunakan lebih daripada apa yang diperlukan. Program kecekapan bahan api AirAsia adalah salah satu inisiatif terbaik dalam industri, jika bukan di dunia.

"Dalam pada kami meneroka rumusan baharu, kami tidak boleh melupakan kekuatan yang membolehkan kami mencapai antara kos dan pelepasan karbon terendah bagi setiap tempat duduk dalam industri," katanya.

image is not available

Menurut Pengurus Kanan Projek Operasi Penerbangan, Pembangunan dan Kecekapan AirAsia, Jonathan Sanjay, sejak 2015, syarikat penerbangan itu telah berjaya menjimatkan lebih AS$130 juta dalam penggunaan bahan api, selain mengelakkan pelepasan karbon dioksida yang berkaitan.

"AirAsia juga sedang meneroka pilihan untuk memperkenalkan bahan api penerbangan mampan (SAF) ke dalam campuran bahan apinya sebelum 2025," katanya. - DagangNews.com