Anak kedua saya didera, dirotan oleh pengasuh – Fadhlina

LocalFamily & Parenting
5 Sep 2026 • 9:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anak kedua saya didera, dirotan oleh pengasuh – Fadhlina

SEBERANG PERAI – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkongsi pengalaman peribadinya sebagai ibu kepada enam anak yang pernah berdepan pelbagai ujian, termasuk apabila salah seorang anaknya menjadi mangsa penderaan pengasuh.

Menurutnya, pengalaman ketika masih bergelar peguam itu meninggalkan kesan mendalam dan membuka matanya mengenai kepentingan membangunkan sistem penjagaan kanak-kanak yang lebih selamat serta diyakini golongan ibu bekerjaya.

“Anak kedua saya didera oleh pengasuh. Ya, didera, dirotan di kaki dan ketika itu saya memang rasa sangat-sangat bersalah, sebab sebagai seorang ibu yang bekerja dan peguam pula ketika itu, maka, jadual saya ketat dan saya tiada pilihan selain menghantar anak ke jagaan pengasuh.

“Pengalaman itu kemudian membuatkan saya merasakan bahawa (kerjaya) pengasuh ini mesti mempunyai satu komitmen, atau yang kita panggil sebagai peluang dan tanggungjawab (yang penting) dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Gala Pesona Kasih Madani anjuran Merdeka Centre dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi Yayasan Sime Darby di sini, hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, beliau turut melalui satu lagi episod sukar apabila anak keempatnya meninggal dunia akibat Sindrom Kematian Bayi Mendadak (SIDS).

Katanya, tragedi itu menyebabkan beliau berdepan trauma sehingga perlu mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan kerjaya atau berhenti kerja bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak.

Bagaimanapun, beliau berkata, sokongan keluarga terutama adik-beradiknya membantu dirinya melalui tempoh sukar berkenaan sambil meneruskan kerjaya sehingga akhirnya diberi amanah menerajui Kementerian Pendidikan.

“Pengalaman ini bagi saya memperlihatkan kepada saya betapa pentingnya untuk membangunkan ekosistem penjagaan kanak-kanak yang lebih menyeluruh supaya ibu bekerja mempunyai keyakinan bahawa anak mereka berada dalam keadaan selamat dan mendapat penjagaan sewajarnya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

The post Anak kedua saya didera, dirotan oleh pengasuh – Fadhlina appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved