Taobao Malaysia bakal lancar antara muka Bahasa Melayu pada Jun 2025

LocalTechnology
22 Apr 2025 • 3:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Taobao Malaysia bakal lancar antara muka Bahasa Melayu pada Jun 2025

image is not available

22/04/2025 - 15:06

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 April - Platform e-dagang popular, Taobao Malaysia merancang untuk memperkenalkan antara muka Bahasa Melayu menjelang Jun 2025, sebagai usaha mendekati pengguna tempatan.

Taobao Malaysia berkata, penambahbaikan itu bertujuan memenuhi keperluan pengguna yang lebih selesa berbelanja dalam bahasa tempatan, sejajar dengan peningkatan minat rakyat Malaysia terhadap pembelian rentas sempadan.

Jelasnya, aplikasi Taobao kini menjadi aplikasi kedua paling banyak dimuat turun di Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom selain menduduki tempat pertama di Perancis.

"Di Malaysia setakat 16 April 2025, aplikasi Taobao juga merupakan aplikasi kedua paling banyak dimuat turun dalam kategori beli-belah di iOS, menunjukkan sambutan dan kepercayaan yang tinggi daripada pengguna tempatan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ketua Negara Taobao Malaysia, Jess Lew berkata, usaha memperkenalkan Bahasa Melayu pada antara muka platform berkenaan adalah sebahagian daripada strategi tempatan mereka.

"Ia mengukuhkan komitmen kami untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah dan mesra kepada semua pengguna di Malaysia," jelasnya.

Taobao memperkenalkan antara muka Bahasa Inggeris pada September 2024, lengkap dengan ciri terjemahan automatik menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta sokongan pelanggan dwibahasa dalam Bahasa Inggeris dan Cina.

"Dengan penerangan produk dalam Bahasa Inggeris, harga dalam ringgit serta paparan yang lebih ringkas, pengguna Malaysia kini boleh membeli-belah dengan lebih mudah," tambah kenyataan itu.

Bagi kemudahan pembayaran, Taobao Malaysia menawarkan pelbagai pilihan termasuk kad debit dan kredit, perbankan dalam talian, e-dompet serta pelan ansuran.

Pengguna juga boleh menjejak status pesanan terus melalui aplikasi, bagi memastikan ketelusan.

"Aplikasi Taobao boleh dimuat turun secara percuma melalui Apple App Store dan Google Play Store," ujarnya. - DagangNews.com

standard