Airbus buka pejabat baharu di Putrajaya, kukuhkan kehadiran di Malaysia

LocalBusiness & Finance
19 May 2025 • 5:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Airbus buka pejabat baharu di Putrajaya, kukuhkan kehadiran di Malaysia

image is not available

19/05/2025 - 17:14

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Mei - Airbus merasmikan pembukaan pejabat baharunya di Putrajaya, bagi mengkukuhkan kehadiran di Malaysia serta sebagai tanda komitmen jangka panjang syarikat terhadap negara ini.

Pembukaan itu dibuat menjelang LIMA 2025 di Langkawi bermula 20 Mei ini, di mana Airbus akan menjadi antara peserta utama yang mempamerkan pelbagai produk dan inovasi terkininya.

Pejabat baharu tersebut menempatkan kira-kira 170 kakitangan, dengan fokus utama kepada perkhidmatan pelanggan untuk syarikat penerbangan serantau.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk sokongan untuk pesawat A330 dan A350, bagi memastikan pesawat dapat beroperasi dengan cekap dan sentiasa sedia digunakan.

image is not available
Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Stanley.

Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Stanley berkata, Malaysia memainkan peranan penting dalam strategi Airbus di rantau ini.

"Airbus mempunyai hubungan jangka panjang dengan Malaysia merangkumi pesawat komersial, pertahanan, angkasa lepas dan helikopter.

"Malaysia juga merupakan pasaran ketiga terbesar kami di Asia selepas China dan India," katanya dalam satu kenyataan.

Pembukaan pejabat baharu itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah.

image is not available
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, merasmikan pembukaan pejabat baharu Airbus di Putrajaya.

Buat masa ini, sebanyak hampir 150 pesawat komersial Airbus beroperasi di Malaysia, dengan kira-kira 400 lagi dalam tempahan.

AirAsia banyak menggunakan pesawat A320 dan A330, manakala Malaysia Airlines hanya menggunakan pesawat besar Airbus seperti A330neo dan A350.

Dalam bidang pertahanan, Malaysia adalah negara pertama yang membeli pesawat tentera A400M dari Airbus.

Tahun ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyambut 10 tahun penggunaan A400M, dengan jumlah penerbangan lebih 13,000 jam.

Airbus turut mencadangkan pesawat C295 untuk membantu tugas pengangkutan dan pemantauan di laut.

Airbus juga adalah pembekal helikopter utama di Malaysia dengan sebanyak 93 helikopter sedang digunakan, termasuk 12 helikopter H225M.

Helikopter itu digunakan untuk tugas penting seperti penguatkuasaan undang-undang, kawalan sempadan, kecemasan perubatan dan misi menyelamat.

Airbus mempunyai kehadiran yang kukuh di Malaysia, antaranya pusat penyelenggaraan pesawat di Sepang, pusat latihan helikopter di Subang, serta beberapa syarikat tempatan yang membekalkan alat ganti kepada Airbus.

Nilai perolehan tahunan Airbus dari Malaysia adalah kira-kira RM1.40 bilion, membantu mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan.

Anand Stanley pada masa sama berkata, pihaknya melihat potensi besar kerjasama dengan Malaysia dalam bidang bahan api penerbangan mampan (SAF).

"Malaysia memiliki banyak sumber bahan mentah dan industri petrokimia yang maju. Ini menjadikan Malaysia lokasi yang sesuai untuk menjadi peneraju dalam pengeluaran SAF di rantau ini," jelasnya.

Beliau berkata, untuk menyokong usaha tersebut, Airbus telah menandatangani perjanjian dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) bagi mengkaji ketersediaan bahan mentah dan sistem bekalan SAF.

Sempena LIMA 2025, Airbus akan mempamerkan pesawat A400M milik Tentera Udara Jerman dan TUDM, serta helikopter mewah ACH160.

Selain itu, dua lagi pesawat A400M TUDM akan menyertai pertunjukan udara.

Di ruang pameran B-16, Airbus juga akan mempamerkan model pesawat A220, A400M, helikopter H225M, satelit Pléiades Neo, platform tinggi Zephyr (HAPS) dan dron Flexrotor (UAS). - DagangNews.com

standard