Paradigm REIT sasar beli tiga hotel baharu selepas penyenaraian di Pasaran Utama

19/05/2025 - 13:17
Gambar/FB WCT Holdings Berhad
KUALA LUMPUR 19 Mei - Paradigm Real Estate Investment Trust (REIT), yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Jun ini, dijangka membeli beberapa hotel selepas penyenaraian.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Paradigm REIT Management Sdn Bhd, Selena Chua berkata, REIT itu yang bakal disenaraikan sebagai amanah runcit, berkemungkinan menambah aset hotel ke dalam portfolio mereka seawal 2026.
Katanya, hotel-hotel yang terlibat adalah Hyatt Place Johor Baru Paradigm Mall, Le Méridien Petaling Jaya dan Premiere Hotel, Klang.
"Hotel-hotel itu buat masa ini dimiliki oleh penaja Paradigm REIT, WCT Holdings Bhd.
"Kami mempunyai hak pertama untuk menolak (ROFR) sama ada bagi membeli hotel-hotel tersebut atau tidak sebelum ia ditawarkan kepada pihak lain," katanya kepada pemberita baru-baru ini, seperti laporan The Star.
ROFR memberi hak, tetapi bukan kewajipan untuk membeli aset berkenaan sekiranya WCT memilih untuk menjualnya.
Paradigm REIT memiliki Paradigm Mall Petaling Jaya, Paradigm Mall Johor Baru dan Bukit Tinggi Shopping Centre.
Pada masa ini, pusat membeli-belah berkenaan mempunyai kadar pengisian purata sebanyak 99%.
Paradigm REIT akan disenaraikan pada harga rujukan RM1 seunit, dengan nilai pasaran dijangka mencecah RM1.6 bilion selepas penyenaraian.
Paradigm REIT dijangka memberi hasil agihan tahunan sebanyak 7.16% pada FY25.
Nisbah hutang bersih ketika penyenaraian adalah 34% daripada nilai aset keseluruhan berjumlah RM2.476 bilion atau RM841.7 juta, iaitu jauh lebih rendah daripada had maksimum yang dibenarkan iaitu 50%.
Ini memberi ruang tambahan untuk berhutang sehingga RM1.24 bilion.
Sementara itu, Pengarah Pelaburan, Kewangan dan Akaun Paradigm REIT, Chong Kian Fah berkata, pihak yakin dengan penyenaraian itu walaupun dalam keadaan sentimen pasaran terkini.
"Paradigm REIT bersifat defensif. Hasil dividen tersedia dan kami mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada keuntungan dua kali setahun.
"Aset-aset dalam amanah ini mempunyai kelebihan yang kukuh. Berdasarkan margin pendapatan hartanah bersih (NPI) pada 68% tahun lalu, kami menyasarkan untuk mencapai 69% pada 2025," tambahnya.
Paradigm REIT akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam portfolio pelbagai jenis aset hartanah termasuk komersial runcit, pejabat, industri dan hospitaliti, serta aset bukan hartanah yang lain. - DagangNews.com
standard



