Kewangan Pekat Group mengukuh susulan kontrak RM135 juta TNB, kata penganalisis

19/05/2025 - 15:52
Gambar/FB Pekat Group Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 19 Mei - Keuntungan Pekat Group Bhd diunjurkan meningkat selepas anak syarikatnya yang dimiliki sebanyak 60%, EPE Switchgear (M) Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM135.24 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Firma penyelidikan Apex Securities turut menaikkan unjuran jumlah nilai tempahan EPE Switchgear kepada RM400 juta bagi FY25, berbanding RM250 juta sebelum ini bagi syarikat pakar tenaga solar tersebut.
Selain itu, unjuran jumlah nilai tempahan FY26 dinaikkan kepada RM450 juta daripada RM350 juta.
Apex Securities juga menaikkan unjuran keuntungan Pekat bagi FY25 sebanyak 14.4% dan 11.7% bagi tahun 2026, disokong oleh pertambahan kontrak baharu serta buku tender berjumlah RM350 juta dan peningkatan nilai tender peralatan suis oleh TNB.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Pekat, dengan harga sasaran baharu RM1.55 berbanding RM1.43 sebelum ini.
"Model perniagaan Pekat yang saling melengkapi, margin keuntungan kukuh dalam segmen EPE Switchgear, serta tempahan kerja yang stabil adalah antara sebab utama yang menyumbang kepada pertambahan keuntungan," katanya dalam satu nota kajian.
Kontrak berkenaan bermula pada 9 Mei lalu dan akan berjalan selama dua tahun.
Ia juga mempunyai pilihan untuk ditambah nilainya sehingga 30% lagi (iaitu RM40.6 juta).
Apex Securities percaya, pilihan itu mungkin akan digunakan kerana sistem suis sangat penting untuk menyambungkan tenaga boleh diperbaharui ke grid elektrik dan memastikan bekalan elektrik stabil.
Susulan kejayaan mendapatkan kontrak tersebut, jumlah tempahan kerja Pekat yang belum dilaksanakan dianggarkan sekitar RM726.2 juta, iaitu 2.5 kali ganda pendapatan tahun 2024.
Ini memberi jaminan pendapatan kepada syarikat untuk dua hingga tiga tahun akan datang.
Sementara itu, Phillip Capital turut memberi pandangan positif dan menyatakan Pekat berpeluang mendapat manfaat besar daripada perbelanjaan modal TNB sebanyak RM42.8 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dari tahun 2025 hingga 2027.
Firma penyelidikan berkenaan juga menjangka keuntungan tahunan EPE Switchgear boleh meningkat, dengan jaminan sekitar RM16 juta setahun.
Setakat ini, EPE Switchgear telah memenangi dua kontrak jangka panjang pada tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan kontrak baharu tahun ini sebanyak RM232.5 juta, hampir mencapai sasaran tahunan RM240 juta.
Bagaimanapun, Phillip Capital memberi amaran tentang beberapa risiko, termasuk kemungkinan kelewatan projek, persaingan yang tinggi, harga panel solar yang tidak stabil, serta kebergantungan kepada projek kerajaan.
"Kenaikan kos bahan mentah seperti tembaga dan besi juga menjadi risiko utama," ujarnya.
Sehingga kini, lima firma penyelidikan menilai prestasi Pekat dan kesemuanya memberikan saranan 'beli' dengan harga sasaran purata RM1.48, menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 12.1% dalam tempoh 12 bulan dari harga semasa RM1.32. - DagangNews.com
standard
