
JAKARTA – Tiga notis tuntutan yang didakwa tidak berjawab membawa kepada laporan polis terhadap pempengaruh Malaysia, Aisar Khaled berhubung pertikaian pelaburan bernilai kira-kira 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Menurut laporan Tribunnews.com, laporan itu dibuat oleh wakil sebuah syarikat di Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) pada Isnin selepas usaha menyelesaikan pertikaian berkenaan secara baik didakwa menemui jalan buntu.
Peguam syarikat terbabit, Machi Achmad berkata, pihaknya bertindak mewakili pelanggan dengan membuat laporan mengikut beberapa peruntukan Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).
“Kami hari ini mewakili pelanggan kami untuk melaporkan seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023,” katanya ketika ditemui di Polda Metro Jaya.
Machi mendakwa tiga notis tuntutan sudah dikemukakan kepada Aisar, namun tiada sebarang jawapan diterima. Pihaknya juga mendakwa tidak memperoleh maklumat mengenai keberadaan pempengaruh tersebut.
Seorang lagi peguam, Michael Sugijanto menjelaskan pertikaian itu berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat berkenaan.
Menurutnya, Aisar didakwa masih mempunyai baki kewajipan berjumlah kira-kira 5.7 bilion rupiah yang belum diselesaikan.
“Dalam perjanjian itu, baki yang belum dibayar Aisar sekitar 5.7 bilion rupiah,” katanya.
Michael berkata, perjanjian berkenaan turut menetapkan beberapa tugasan yang perlu dilaksanakan Aisar, termasuk menghadiri acara tertentu secara langsung sebagai sebahagian daripada penyelesaian kewajipannya.
Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa komitmen berkenaan masih belum ditunaikan seperti dipersetujui.
Pihak syarikat dikatakan sudah cuba menghubungi Aisar dan menghantar beberapa notis tuntutan sebelum mengambil tindakan membuat laporan polis.
Laporan tersebut membolehkan pihak berkuasa Indonesia menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada pertikaian berkenaan mengandungi sebarang unsur jenayah.
Setakat laporan Tribunnews.com diterbitkan pada Isnin, Aisar masih belum mengeluarkan kenyataan atau memberikan maklum balas terhadap dakwaan berkenaan.
The post Aisar Khaled didakwa gagal selesai tuntutan RM1.3 Juta, dilapor polis Indonesia appeared first on MYBERITA.






