Aishah tidak jemu buru gelaran ratu pecut

2 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aishah tidak jemu buru gelaran ratu pecut

MENJADI anak bongsu daripada 14 beradik bukan sekadar satu gelaran, sebaliknya pengalaman itu membentuk atlet pecut wanita negara, Nur Aishah Rofina Aling menjadi seorang yang tabah, berdikari dan tidak mudah mengalah sehingga berjaya mengukir nama dalam arena olahraga negara.

Perjalanan atlet pecut kebangsaan itu dalam sukan olahraga bermula sejak di bangku sekolah rendah apabila dia aktif menyertai kejohanan sukan sekolah.

Daripada situ, minatnya semakin berkembang sebelum memilih untuk menjalani latihan secara lebih serius bagi mengasah bakat yang dimiliki.

“Saya mula berkecimpung dalam sukan olahraga sejak di bangku sekolah rendah. Masa itu saya aktif menyertai sukan sekolah dan mula menyedari saya mempunyai minat serta potensi dalam bidang ini.

“Daripada situ saya mula berlatih secara konsisten dan setiap latihan memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki prestasi serta mencabar kemampuan diri,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Biarpun langkahnya kelihatan lancar hari ini, Aishah mengakui perjalanan bergelar atlet elit negara menuntut pengorbanan yang bukan sedikit, terutama ketika menyambung pengajian di universiti.

Menurutnya, menjadi pelajar dan atlet pada masa sama memerlukan disiplin yang tinggi kerana kedua-duanya menuntut komitmen sepenuhnya.

“Cabaran paling besar saya ialah ketika melanjutkan pelajaran di universiti. Banyak perkara yang saya perlu korbankan untuk mengekalkan prestasi terbaik sebagai atlet.

“Saya perlu bijak membahagikan masa supaya akademik dan sukan dapat berjalan seiring.

“Selain itu, disiplin dan konsisten memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan kecergasan serta prestasi saya sentiasa berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

Segala penat lelah itu akhirnya dibayar dengan satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan apabila dia membuat penampilan sulung mewakili Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023.

Temasya itu menjadi titik perubahan terbesar dalam kariernya apabila berjaya menghadiahkan pingat buat negara, selain membantu memecahkan rekod kebangsaan acara 4×100 meter wanita.

“Kalau ditanya pencapaian paling bermakna sepanjang bergelar atlet, sudah tentu Sukan SEA Kemboja.

“Itu kali pertama saya mewakili Malaysia dan saya bukan sahaja dapat membawa pulang pingat untuk negara, malah kami berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4×100 meter. Ia satu kenangan yang akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Aishah percaya tiada atlet mampu berdiri sendirian. Baginya, setiap kejayaan yang dikecap hari ini lahir daripada doa, pengorbanan dan sokongan insan-insan paling rapat dengannya.

“Individu yang paling banyak memberi inspirasi kepada saya ialah ibu dan jurulatih. Ibu sentiasa menjadi sumber kekuatan dan motivasi terbesar saya.

“Dia tidak pernah berhenti memberi sokongan, dorongan serta kepercayaan kepada saya walaupun ketika saya berdepan saat-saat sukar.

“Jurulatih pula sentiasa membimbing saya menjadi atlet yang lebih berdisiplin, lebih kuat dan tidak mudah berputus asa,” katanya.

Tambah Aishah, bimbingan kedua-dua insan itu membuatkan dia sentiasa mahu memberikan yang terbaik setiap kali turun menjalani latihan mahupun beraksi di pertandingan.

Ditanya sama ada dia pernah membayangkan akan bergelar atlet kebangsaan suatu hari nanti, Aishah mengakui impian itu pernah dianggap terlalu besar, namun dia enggan berhenti percaya terhadap kemampuan diri.

“Bagi saya, mempunyai impian yang besar itu percuma, tetapi untuk merealisasikannya memerlukan pengorbanan yang sangat besar.

“Saya memang pernah memasang impian untuk menjadi pelari pecut wanita negara dan Alhamdulillah, hari ini saya berjaya merealisasikan impian tersebut,” katanya.

Walaupun sudah mencipta nama di pentas antarabangsa, atlet kelahiran Sabah itu belum mahu berpuas hati.

Fokusnya kini adalah memperbaiki catatan masa dalam acara 100 meter supaya semakin hampir dengan rekod kebangsaan.

“Sasaran saya sekarang ialah memperbaiki catatan masa supaya lebih hampir dengan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter. Saya percaya masih banyak ruang yang boleh saya tingkatkan dan saya mahu terus bekerja keras untuk mencapai sasaran itu,” katanya. – UTUSAN

The post Aishah tidak jemu buru gelaran ratu pecut appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved