
KUALA LANGAT – Seorang lelaki warga emas maut selepas digilis sebuah lori ketika menunggang basikal dalam kemalangan di hadapan sebuah bank di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, di sini malam ini.
Mangsa merupakan lelaki berusia 76 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Asrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.21 malam.
Menurutnya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai sebelum tiba tiga minit kemudian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan itu melibatkan sebuah lori dan basikal.
“Mangsa merupakan lelaki warga emas didapati telah digilis dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Jelas beliau, identiti mangsa bagaimanapun belum dikenalpasti.
“Mangsa tidak tersepit dibawah tayar dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ajal penunggang basikal warga emas digilis lori appeared first on Kosmo Online.






