Anak Terkejut Bapa Maut Ditetak Di Tanah Rancangan FELDA

27 Oct 2026 • 9:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Anak Terkejut Bapa Maut Ditetak Di Tanah Rancangan FELDA

KOTA TINGGI - Seorang lelaki masih sukar menerima hakikat bapanya yang berusia 68 tahun maut ditetak dalam kejadian di FELDA Lok Heng Selatan, semalam.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia bergegas pulang dari Pengerang selepas menerima panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan mengenai kejadian menimpa bapanya.

Lelaki berusia 40 tahun itu yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila mengetahui kejadian berkenaan dan masih tidak mengetahui motif serangan tersebut.

“Saya terkejut apabila diberitahu bapa saya ditetak. Saya tidak tahu apa motifnya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang, hari ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka bapanya mengenali suspek berusia 41 tahun itu memandangkan kediaman mereka terletak agak berjauhan walaupun berada dalam kawasan tanah rancangan yang sama.

“Suspek masih muda, sedangkan bapa saya sudah berusia 68 tahun. Walaupun tinggal di kampung yang sama, rumah mereka berjauhan,” katanya.

Beliau berkata, bapanya tinggal bersama isteri yang berusia 58 tahun, seorang lagi anak serta menantu.

Kali terakhir dia bertemu bapanya adalah pada Sabtu lalu ketika pulang ke rumah keluarga seperti kebiasaannya pada setiap hujung minggu.

Katanya, ketika pertemuan itu, bapanya berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang diketahui. Mereka juga sempat makan bersama seperti biasa.

“Bapa saya sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit atau masalah kesihatan yang diketahui. Ketika saya berjumpa dengannya hari itu, semuanya seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap keadilan dapat ditegakkan.

Mengulas kejadian itu, beliau menyifatkan serangan berkenaan sebagai kejam dan berpendapat sebarang perselisihan sepatutnya diselesaikan secara baik melalui perbincangan.

“Jika ada masalah, sepatutnya perkara itu dibincangkan dengan baik. Keluarga kami masih tidak mengetahui apa yang mendorong kejadian ini,” katanya.

Dalam kejadian semalam, mangsa yang juga peneroka FELDA dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai diserang menggunakan sebilah parang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, penyerang ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Kota Tinggi pada jam 10.26 pagi, hari ini. - Getaran, 27 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved