AMPANG - [DIKEMAS KINI] Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis berkaitan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk di kawasan tersebut.
Pengerusi Surau Taman Seraya, Abdullah Sulaiman berkata, laporan itu dibuat bukan bertujuan mencetuskan sebarang konflik, sebaliknya bagi menangkis dakwaan fitnah surau berkenaan.
"Kita mengambil keputusan untuk membuat laporan polis susulan wujudnya beberapa bentuk gangguan yang disifatkan bermotifkan isu agama, raja dan kaum (3R)," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah di sini pada Jumaat.
Abdullah berkata, individu berkenalan telah menghantar mesej WhatsApp secara peribadi yang dilihat sebagai satu bentuk tekanan dan gangguan kepada AJK surau.
**media[3501018]**
"Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan bahawa laungan azan yang berkumandang ketika ini mengganggu individu itu.
"Selain itu, dia juga meminta agar solat Jumaat yang telah dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan kerana mengganggu laluan trafik," katanya.
Katanya, individu tersebut turut meminta supaya lampu di kawasan tersebut tidak dinyalakan.
"Isu berkenaan sebenarnya telah berlarutan sejak sekian lama, namun memuncak kebelakangan ini apabila beberapa tuntutan baharu dikemukakan sehingga menimbulkan tekanan kepada pihak pengurusan surau," katanya.
Abdullah berkata, satu sesi dialog akan diadakan pada jam 10 pagi di Pejabat ADUN Teratai, melibatkan pihak AJK, wakil agensi berkaitan termasuk polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kes masih dalam siasatan pihak polis.






