MAIS jamin kedudukan Surau Taman Seraya kekal terpelihara

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 4:40 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MAIS jamin kedudukan Surau Taman Seraya kekal terpelihara

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi jaminan akan terus mempertahankan kedudukan Surau Taman Seraya, Ampang susulan dakwaan gangguan oleh pihak tertentu terhadap pengurusan surau berkenaan.

EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah mendedahkan kemelut tersebut dipercayai berpunca daripada pihak luar yang sengaja menimbulkan provokasi terhadap pengurusan surau.

“Perkara ini kita dapati bahawa ada pihak tertentu cuba melakukan provokasi dengan membuat petisyen dan sebagainya. Apa yang pasti, kedudukan surau itu terjamin.

“Seandainya benar ada provokasi pihak luar, percayalah, MAIS dan Kerajaan Negeri akan menggunakan seluruh kekuatan kita untuk memastikan surau itu kekal dan digunakan dengan selamat oleh umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dr Fahmi menambah, Surau Taman Seraya dibina secara sah sejak lebih 10 tahun lalu dan beroperasi dengan harmoni bersama penduduk pelbagai kaum di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama pihak pengurusan MAIS akan meninjau keadaan sebenar surau tersebut minggu hadapan selain berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

“Kalau ada isu provokasi atau hasutan yang cuba dibuat terhadap penduduk bukan Islam untuk menimbulkan persepsi yang tidak betul, percayalah kita akan bertindak tegas,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Saraya membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah susulan dakwaan gangguan pihak tertentu terhadap pengurusan surau berkenaan.

Pengerusi Surau Jumaat Taman Saraya, Abdullah Sulaiman dilapor berkata, tindakan itu diambil selepas beberapa isu dibangkitkan termasuk bantahan terhadap azan, solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau.