AMPANG – Sesi dialog melibatkan isu Surau Taman Seraya yang dijadualkan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Muda di sini pada Sabtu dibatalkan atas faktor keselamatan.
Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Mohd Firdaus Babh berkata, sesi dialog yang dirancang itu bertujuan mencari penyelesaian melibatkan seorang penduduk, pihak surau serta agensi kerajaan.
"Sesi dialog berkenaan sepatutnya melibatkan pihak surau, pengadu serta beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Perpaduan dan Jabatan Penerangan bagi mencari jalan penyelesaian secara harmoni.
"Bagaimanapun sesi dialog itu dibatalkan setelah mendapat nasihat pihak berkuasa," katanya Sinar Harian pada Jumaat
Mohd Firdaus berkata, selain itu, pihaknya mengesan penularan maklumat tidak sahih di media sosial sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan penduduk.
"Hantaran tersebut turut memaparkan satu imej kononnya minit mesyuarat komuniti yang disifatkan sebagai provokatif dan berpotensi mencetuskan ketegangan.
"Saya memohon pihak polis menjalankan siasatan terhadap penyebaran minit mesyuarat komuniti itu yang didakwa mengandungi unsur provokasi," katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis berkaitan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk di kawasan tersebut berhubung isu surau berkenaan.
Pengerusi Surau Taman Seraya, Abdullah Sulaiman dilaporkan berkata, laporan itu dibuat bukan bertujuan mencetuskan sebarang konflik, sebaliknya bagi menangkis dakwaan fitnah surau berkenaan.
Abdullah berkata, individu berkenaan telah menghantar mesej WhatsApp secara peribadi yang dilihat sebagai satu bentuk tekanan dan gangguan kepadanya.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan bahawa laungan azan yang berkumandang mengganggu individu itu.
Selain itu, penduduk itu didakwa meminta agar solat Jumaat yang telah dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan kerana mengganggu laluan trafik.
Individu tersebut turut meminta supaya lampu di kawasan surau tersebut tidak dinyalakan.



