Akaun keldai korporat meningkat, BNM ambil tindakan terhadap setiausaha syarikat dan bank pelaburan Labuan

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 12:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Akaun keldai korporat meningkat, BNM ambil tindakan terhadap setiausaha syarikat dan bank pelaburan Labuan Image from: Akaun keldai korporat meningkat, BNM ambil tindakan terhadap setiausaha syarikat dan bank pelaburan Labuan sarah23/10/2026 - 12:31 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt - Sindiket jenayah kewangan semakin mengeksploitasi syarikat sebagai akaun keldai untuk menyembunyikan aliran wang haram, dengan data Portal Penipuan Kebangsaan menunjukkan peningkatan penggunaan akaun keldai korporat, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar berkata, rangkaian jenayah terancang kini semakin canggih dalam menggunakan struktur perniagaan yang sah, teknologi dan perkhidmatan profesional bagi menyembunyikan identiti pemilik sebenar serta menjadikan aktiviti haram kelihatan seperti urus niaga yang sah.

 

Beliau berkata, ancaman itu turut melibatkan penyalahgunaan syarikat, amanah dan pengaturan undang-undang bagi menyembunyikan sumber dana haram, sekali gus meletakkan penyedia perkhidmatan profesional pada kedudukan penting untuk mengesan serta melaporkan aktiviti mencurigakan sebelum dana berkenaan memasuki sistem kewangan.

 

“Rangkaian jenayah ini sentiasa mengkaji kawalan dan rangka kerja sedia ada, mengenal pasti kelemahan serta menyesuaikan kaedah mereka. Apabila satu laluan ditutup, mereka segera mencari laluan lain yang mempunyai tahap penelitian paling lemah,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pematuhan Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan Ditentukan (DNFBP) 2026 di Sasana Kijang, semalam.

 

Marzunisham turut mendedahkan bahawa BNM bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) baru-baru ini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap seorang setiausaha syarikat kerana gagal mengemukakan laporan transaksi mencurigakan berkaitan warga asing yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan antarabangsa.

 

Dalam satu lagi kes, BNM dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan mengambil tindakan terhadap sebuah bank pelaburan Labuan susulan kelemahan ketara dalam proses usaha wajar pelanggan yang menjejaskan keupayaannya menilai kemungkinan penglibatan pelanggan dalam aktiviti haram di luar negara, selain kelewatan mengemukakan laporan transaksi mencurigakan.

 

Menurut beliau, kedua-dua kes itu membuktikan bahawa kelemahan dalam penelitian pelanggan, pemantauan dan pelaporan boleh membuka ruang kepada penjenayah untuk menggunakan perkhidmatan profesional, sama ada secara sedar atau tidak, bagi memberikan gambaran kesahihan kepada dana haram.

 

Beliau turut merujuk penilaian ancaman jenayah terancang rentas negara di Asia Tenggara oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), yang mengenal pasti peguam dan akauntan tertentu sebagai antara penyedia perkhidmatan pakar yang digunakan oleh rangkaian jenayah terancang.

 

Marzunisham berkata, pendigitalan perkhidmatan profesional, termasuk pendaftaran pelanggan secara digital dan urusan perniagaan merentasi sempadan, turut mewujudkan peluang baharu kepada penjenayah untuk menyembunyikan identiti dan membina hubungan perniagaan yang kelihatan sah.

 

Sehubungan itu, BNM akan melaksanakan Penilaian Risiko Kebangsaan seterusnya pada 2027 bagi meneliti dengan lebih mendalam risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dalam sektor DNFBP, sekali gus membantu merangka dasar, panduan dan langkah mitigasi yang lebih bersasar.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved