
AKAUN pendapatan primer Malaysia dijangka mencatat defisit sebanyak RM90.2 bilion pada 2026, berikutan aliran keluar bersih lebih tinggi dalam akaun pendapatan pelaburan dan pampasan pekerja.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, aliran keluar bersih dalam akaun pendapatan pelaburan dianggar meningkat disebabkan penghantaran balik keuntungan dan dividen oleh pelabur asing di Malaysia.
“Defisit dalam pampasan pekerja dijangka lebih tinggi susulan peningkatan bilangan profesional asing di Malaysia bagi projek infrastruktur dan utiliti yang sedang dilaksanakan.
“Akaun pendapatan sekunder pula dijangka mencatat aliran keluar bersih lebih tinggi sebanyak RM12.3 bilion pada 2026.
“Defisit lebih besar itu disebabkan peningkatan kiriman wang keluar yang dijangka mencecah RM57.3 bilion, terutama oleh pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, India, Nepal dan Filipina.
“Bagaimanapun, terimaan dalam akaun pendapatan sekunder diunjur meningkat kepada RM45.1 bilion didorong peningkatan kiriman wang masuk daripada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara,” katanya.
Sementara itu, akaun kewangan mencatat aliran masuk bersih marginal sebanyak RM0.4 bilion pada separuh pertama 2026, disokong aliran masuk bersih dalam akaun pelaburan lain dan pelaburan langsung serta aliran keluar bersih yang lebih kecil dalam akaun pelaburan portfolio.
Katanya, kedudukan itu terutama disumbangkan akaun pelaburan lain yang beralih daripada aliran keluar bersih RM8.4 bilion pada separuh pertama 2025 kepada aliran masuk bersih RM11.7 bilion pada tempoh sama 2026.
“Aliran keluar bersih dalam pelaburan portfolio turut mengecil kepada RM26.1 bilion pada separuh pertama 2026 berbanding RM29.5 bilion dalam tempoh sama 2025.
“Bagaimanapun, aliran masuk bersih dalam akaun pelaburan langsung mengecil kepada RM15.2 bilion pada separuh pertama 2026 daripada RM22.4 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama 2025.
“Sebaliknya, aliran keluar bersih dalam akaun derivatif kewangan meningkat sedikit kepada RM440 juta berbanding RM420 juta pada separuh pertama 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia mencatat aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM30.2 bilion pada separuh pertama 2026, yang sebahagian besar disalurkan kepada sektor maklumat dan komunikasi, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal serta perdagangan borong dan runcit.
Pada tempoh sama, aliran keluar bersih pelaburan langsung di luar negeri (DIA) oleh syarikat Malaysia meningkat kepada RM15 bilion, terutama disalurkan dalam sektor aktiviti kewangan dan insurans atau takaful, perlombongan dan pengkuarian serta pengangkutan dan penyimpanan. – UTUSAN
The post Akaun pendapatan primer dijangka defisit RM90.2 bilion appeared first on Utusan Malaysia.






