
PETALING JAYA: Perbelanjaan pembangunan (DE) kerajaan bagi 2027 dijangka meningkat 3.8 peratus kepada RM83 bilion, namun kenaikan itu belum cukup untuk mencetuskan lonjakan ketara dalam aliran projek baharu sektor pembinaan, menurut CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities).
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan daripada RM80 bilion tahun ini berlaku ketika kerajaan meneruskan konsolidasi fiskal, termasuk pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM9 bilion kepada RM32 bilion pada 2027.
Langkah itu dijangka memberi sedikit ruang fiskal untuk membiayai projek pembangunan, namun CIMB Securities berkata perhatian seharusnya diberikan kepada nilai kontrak yang dianugerahkan dan pelaksanaan projek, berbanding jumlah DE semata-mata.
“Sesetengah peruntukan mungkin berkaitan baki projek yang sedang dilaksanakan dan bukannya tender baharu,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, nilai kontrak projek domestik yang dianugerahkan mencecah RM177 bilion, bersamaan 76 peratus dan 72 peratus daripada keseluruhan nilai projek yang dianugerahkan pada 2024 dan 2025.
Bagaimanapun, projek yang dibiayai kerajaan hanya berjumlah RM37 bilion, masing-masing 57 peratus dan 63 peratus daripada paras yang direkodkan pada 2024 dan 2025.
CIMB Securities menjangkakan perbelanjaan infrastruktur di bawah Belanjawan 2027 tertumpu kepada projek berskala kecil hingga sederhana, khususnya bagi merapatkan jurang pembangunan di Malaysia Timur dan kawasan pedalaman.
“Antara bidang tumpuan dijangka merangkumi infrastruktur air dan penggantian paip, tebatan banjir, infrastruktur luar bandar serta pelaburan grid.
“Antara tender infrastruktur berskala besar yang berpotensi ialah fasa kedua skim bekalan air Rasau dan Langat 2, Pakej Kontrak Utama Awam 3 bagi projek LRT Mutiara Pulau Pinang, Skim Bekalan Air Perak Utara serta projek jalan raya dan utiliti baharu di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, aktiviti tender bangunan dijangka perlahan pada suku keempat 2026 apabila pemaju hartanah menangguhkan pelancaran projek susulan peningkatan kos pembinaan dan kadar pengambilan yang lebih lemah.
CIMB Securities mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor pembinaan dengan Gamuda Bhd dan IJM Corp Bhd sebagai pilihan utamanya. –UTUSAN
The post Perbelanjaan pembangunan naik, lonjakan projek baharu belum ketara appeared first on Utusan Malaysia.





