Akauntan Mengaku Tidak Bersalah Dakwaan Perbuatan Seksual Tanpa Rela

5 Nov 2026 • 5:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Akauntan Mengaku Tidak Bersalah Dakwaan Perbuatan Seksual Tanpa Rela

GEORGE TOWN - Seorang akauntan berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan perbuatan seksual terhadap seorang wanita tanpa kerelaannya di sebuah unit kediaman, tahun lalu.

Tertuduh, Then Zi Quan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap seorang wanita berusia 25 tahun di Ideal Residency, Jalan Lembah, Kampung Kastam, kira-kira jam 4.15 petang pada 24 Ogos 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak menghubungi atau mengugut mangsa serta saksi pendakwaan.

Beliau turut memohon supaya tertuduh diwajibkan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam bela K Mahendran dan M Sharmila Morgan memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka berpendapatan RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan semua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember ini bagi penyerahan dokumen. - Getaran, 5 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved