
Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di daerah Nilai dikesan positif saringan awal air kencing bagi tiga jenis dadah selepas tular video memaparkan dirinya berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape.
SEREMBAN: Seorang pelajar lelaki sekolah menengah di daerah Nilai dikesan positif saringan awal air kencing bagi tiga jenis dadah iaitu ketamin, benzodiazepin dan THC.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pelajar berusia 17 tahun itu disiasat susulan penularan video memaparkan dia disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape di media sosial.
Beliau berkata penularan video itu dipercayai berlaku pada 28 Okt lepas di sebuah sekolah menengah di daerah berkenaan.
“Pihak polis mengambil maklum mengenai penularan rakaman video berkenaan di platform media sosial Threads pada 4 Nov sebelum menjalankan siasatan dan mengenal pasti pelajar terbabit.
“Bagaimanapun, keputusan saringan awal air kencing itu masih tertakluk kepada pengesahan lanjut. Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Alzafny berkata pelajar itu akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.


![[VIDEO] Kereta rendah jangan berani lalu Bukit Cerakah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/bukit-cerakah-1024x766.jpeg)



