Akauntan Negara Malaysia dilantik sebagai Profesor Adjung UiTM

20/08/2025 - 13:03
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melantik Akauntan Negara Malaysia, Datuk Nor Yati Ahmad sebagai Profesor Adjung bagi mengiktiraf jasanya yang banyak menyumbang kepada bidang perakaunan sektor awam dan reformasi kewangan negara.
Majlis penyerahan watikah pelantikan itu diadakan di kampus UiTM, selaras dengan kerjasama strategik antara Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan UiTM yang bertujuan memperkukuh pendidikan tinggi, memacu penyelidikan terapan serta membangunkan modal insan yang cemerlang dalam bidang perakaunan.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Profesor Adjung, Nor Yati berkata, pelantikan itu bukan sekadar penghormatan peribadi, tetapi satu amanah strategik yang mencerminkan kepentingan kolaborasi antara institusi pelaksana dasar dan institusi ilmu.
“Sebagai Akauntan Negara, saya memahami kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi pelaksana.
“UiTM dan JANM berkongsi visi untuk melahirkan akauntan profesional yang kompeten, berintegriti dan berjiwa rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pentadbiran dan transformasi sistem kewangan negara dicapai melalui jaringan kepercayaan dan kolaborasi, bukan secara individu.
Sejak mula berkhidmat, daripada pengurusan akaun kerajaan hingga inisiatif reformasi kewangan digital, beliau melihat peranan UiTM sebagai institusi penting masa depan negara.
“Saya amat bersyukur diberi ruang oleh UiTM untuk menyumbang melalui ceramah, perbincangan dasar, pemetaan kurikulum dan bimbingan pelajar.
“UiTM bukan sekadar universiti, ia adalah pelantar masa depan negara. JANM pula adalah nadi pengurusan amanah rakyat,” katanya.
Kerjasama strategik antara JANM dan Fakulti Perakaunan UiTM dijangka diperluas menerusi beberapa inisiatif, termasuk penganjuran persidangan profesional berskala global, aktiviti CSR komuniti, penyelidikan isu semasa sektor awam dan swasta, penyertaan dalam pengajaran melalui perkongsian pengalaman praktikal, serta pembangunan penyelesaian digital dan dasar inovatif.
Beliau menyatakan komitmennya untuk memainkan peranan aktif dalam memacu agenda pendidikan, penyelidikan dan inovasi bersama UiTM demi pembangunan negara.
“Saya berharap pelantikan ini membuka ruang untuk penyelidikan relevan, peningkatan keupayaan digital dalam pengajaran kewangan kerajaan dan melahirkan graduan yang bersedia bukan sahaja untuk bekerja, tetapi juga memimpin,” katanya. - DagangNews.com
standard



