PAC syor tujuh penambahbaikan untuk perolehan tren elektrik RM10.7 bilion dari China

LocalPolitics
20 Aug 2025 • 3:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PAC syor tujuh penambahbaikan untuk perolehan tren elektrik RM10.7 bilion dari China

image is not available

20/08/2025 - 15:31

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Kerajaan digesa memastikan ketelusan dan penelitian menyeluruh dalam rancangan perolehan tren elektrik secara pajakan bernilai RM10.7 bilion memandangkan projek itu masih berada di peringkat awal kajian dan belum dimuktamadkan lagi.

Gesaan itu dibuat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mahu lebih banyak penambahbaikan serta rundingan dengan agensi pusat termasuk Kementerian Kewangan dilaksanakan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata hasil prosiding PAC pada 12 Februari lalu mendapati proses perolehan masih di peringkat awal kajian dan memerlukan penelitian secara lebih terperinci yang dilakukan dengan telus.

Katanya, pematuhan tatacara kewangan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan perolehan tren elektrik ini memberi manfaat jangka panjang kepada negara dan rakyat.

“Jumlah RM10.7 bilion yang dinyatakan hanyalah anggaran dan tiada sebarang kontrak muktamad telah ditandatangani setakat ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Cadangan perolehan 62 set tren elektrik jenis Electric Multiple Unit (EMU) bagi kegunaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah kerjasama kerajaan-ke-kerajaan (G2G) dengan China pertama kali diumumkan pada Ogos tahun lalu.

Projek itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat dari 2024 hingga 2027 dengan pembayaran dibuat secara ansuran selama 30 tahun.

Mas Ermieyati berkata, PAC telah membuat siasatan dalam bidang kuasanya dengan memanggil tiga saksi utama iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB.

Kaedah pajakan dipilih berikutan kekangan kewangan kerajaan serta keperluan mendesak untuk memenuhi permintaan tinggi ekoran kekurangan tren sedia ada.

Syarikat China, CRRC, dikenal pasti sebagai pembekal bagi fasa pertama berdasarkan kepakaran teknikal serta kewujudan kilang pemasangan di Batu Gajah, Perak.

PAC turut mengemukakan tujuh syor penambahbaikan, termasuk analisis kos faedah menyeluruh yang diketuai Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi membandingkan kaedah pajakan dan pembelian, serta justifikasi jelas bagi setiap fasa perolehan.

Selain itu, jawatankuasa tersebut juga mencadangkan kerajaan mengekalkan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan dalam CRRC Rolling Stock Centre (Malaysia), memperjelas mata wang pembayaran, menetapkan tanggungjawab penyelenggaraan, memastikan pematuhan piawaian keselamatan serta menggalakkan penyertaan syarikat tempatan melalui tender terbuka. - DagangNews.com

featured standard