Akhirnya Nothing Phone (1) terima kemaskini Android 13 secara rasmi

Digital
17 Feb 2023 • 3:17 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Android 13 telah diumumkan tahun lepas dan banyak pengeluar telefon pintar telah memasangnya di peranti flagship mereka. Bagi Nothing, telefon pintar pertama mereka Nothing Phone (1) telah dimaklumkan tidak akan menerima Android 13 tahun lepas kerana mahu memastikan kualiti terjaga.

Sejak semalam, beberapa pengguna Nothing Phone (1) menyatakan mereka telah mula menerima notis tentang kemaskini Nothing OS 1.5. Ia dibangunkan berasas Android 13, naik taraf daripada Android 12 walaupun nama OS ini 1.5 sahaja.

image is not available

Notis kemaskini Nothing OS 1.5 menyatakan ia membawakan banyak ciri-ciri baharu, antaramuka UI diperbaiki dan banyak peningkatan untuk telefon Nothing Phone (1).

Tarikan utama Nothing Phone (1), lampu LED Glyph menerima pek serba baharu, termasuk skema warna lebih banyak tersedia di dalam pilihan wallpaper. Bagi rangkaian, penukaran antara data mudah alih antara dua SIM menjadi lebih mudah, boleh dibuat menerusi panel Setting pantas di atas. Ia juga memaparkan rangkaian yang sedang digunakan dan berapa banyak data telah dipakai.

Dari segi peningkatan prestasi, antara naik taraf adalah di pengimbas capjari dengan 12% lebih pantas. Kelajuan membuka aplikasi pula dipertingkat sehingga 71% dan penggunaan tenaga diperbaiki sehingga 50% lebih baik. Selain itu, beberapa pepijat telah ditampal dan sistem juga dikatakan lebih stabil.

Pengasas dan CEO Nothing, Carl Pei sangat berpuas hati dengan kemaskini Nothing OS 1.5 dan menyatakan hayat bateri telah meningkat . Ia banyak disumbang oleh pasukan pembangun Nothing sendiri, berbanding pembangun sebelum ini diambil daripada luar.

Untuk kemaskini keselamatan, Nothing OS 1.5 memiliki kemaskini bertarikh Januari 2023. Saiz muat turun untuk OS baru ini adalah 157MB. Walaupun kecil, pengguna dinasihatkan memuat turun melalui WiFi dan memastikan bateri melebihi 50% sebelum mula memasangnya.

Kepada yang belum memiliki Nothing Phone (1), ia kini dijual di Malaysia dari serendah RM1,499 dengan RAM 8GB dan storan 128GB. Varian lebih tinggi dengan storan 256GB dijual pada harga RM1,999 manakala model paling hebat yang memiliki RAM 12GB dan storan 256GB, berharga RM2,299.

Anda boleh mengenali Nothing Phone (1) menerusi ulasan Najib dalam video kami di bawah:

[Sumber: Reddit, GSMarena]

Bacaan Berkaitan