Akhyar jadi penyelamat, NSFC ikat Star City 2-2

LocalFootball
5 Sep 2026 • 7:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Akhyar jadi penyelamat, NSFC ikat Star City 2-2
Pemain Negeri Sembilan FC Muhammad Akram Mahinan (kanan) bersaing di udara dengan pemain Star City FC Rafael Vitor Santos De Freitas dalam perebutan bola pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Sabtu. Foto Bernama

NEGERI Sembilan FC (NSFC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri 2-2 menentang Star City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, petang ini.

Muhammad Akhyar Abdul Rashid muncul penyelamat tuan rumah apabila jaringannya pada minit akhir masa kecederaan babak kedua membantu skuad Hobin Jang Hobin mengelak kekalahan, sekali gus menafikan Star City FC tiga mata.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada babak pertama sebelum Pedro Henrique Oliveira Da Silva memanfaatkan kesilapan di bahagian tengah NSFC untuk melancarkan serangan pantas.

Tindakan penjaga gol Muhammad Azri Ab Ghani yang keluar dari kawasan gol untuk mematahkan serangan lawan kemudian membuka ruang buat Pedro Henrique menolak masuk bola ke gawang bagi meletakkan Star City FC di depan pada minit ke-38.

Star City FC hanya memerlukan seminit selepas babak kedua bermula untuk menggandakan kelebihan apabila pemain import, Moses Atede Jona Ataluku, menyudahkan serangan pantas pada minit ke-46.

Ketinggalan dua gol menyaksikan NSFC meningkatkan tekanan ke kubu pelawat sebelum memperoleh sepakan penalti selepas Rafael Vitor Santos De Freitas melakukan kekasaran terhadap Abdul Rahman Daud.

Muhammad Akhyar yang mengambil sepakan itu tidak melakukan kesilapan untuk merapatkan kedudukan 1-2 pada minit ke-75.

Ketika Star City FC dilihat semakin hampir membawa pulang tiga mata, Muhammad Akhyar sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pelawat apabila meledak gol keduanya pada minit akhir masa kecederaan untuk memastikan perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved