Akmal persoal alasan PH gagal tunaikan janji hapus tol

LocalPolitics
7 Jul 2026 • 3:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Akmal persoal alasan PH gagal tunaikan janji hapus tol
Dr Muhamad Akmal

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak alasan diberikan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berhubung kegagalan PH menunaikan janji menghapuskan tol dengan menyifatkan alasan tempoh pemerintahan selama 22 bulan tidak lagi boleh dijadikan sandaran.

Beliau berkata, PH kembali membentuk kerajaan sejak November 2022 apabila Pengerusinya dilantik sebagai Perdana Menteri menjadikan tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini mencecah kira-kira 44 bulan.

Menurutnya, sehingga kini rakyat masih perlu membayar tol meskipun janji berhubung perkara itu pernah menjadi antara manifesto PH.

"Kalau 22 bulan tidak cukup, tetapi hari ini PH telah menjadi kerajaan dan Pengerusi PH sudah menjadi Perdana Menteri bermula November 2022.

"Kalau dikirakan, hari ini sudah masuk bulan ke-44 menjadi kerajaan dan Perdana Menteri, tapi tol masih ada dan rakyat masih ditipu sehingga hari ini," katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Dr Muhamad Akmal berkata, rakyat berhak mempersoalkan bila janji tersebut akan ditunaikan memandangkan kerajaan PH kini mempunyai tempoh pentadbiran yang lebih panjang berbanding ketika mentadbir selama 22 bulan sebelum ini.

"Berapa lama lagi rakyat perlu ditipu oleh kamu? 100 tahun? 200 tahun? Moga bangsa Johor tolak penipu," katanya.

Terdahulu, Maszlee dilaporkan menjelaskan kegagalan PH menghapuskan tol ketika mentadbir dari 2018 hingga 2020 berpunca daripada tempoh pentadbiran yang singkat iaitu hanya 22 bulan.

Menurut Maszlee, ketika itu beliau merupakan Menteri Pendidikan dan bukannya Menteri Kerja Raya, justeru perkara berkaitan penghapusan tol berada di bawah bidang kuasa kementerian lain.

"Bidang kuasa itu di peringkat pusat. Saya Menteri Pendidikan waktu itu dan bukannya Menteri Kerja Raya.

"Tapi untuk berlaku adil kepada kerajaan PH pada waktu itu, 22 bulan memang tidak sempat untuk melaksanakan banyak perkara," katanya.

Dalam masa sama, Maszlee turut mempersoalkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Johor melaksanakan sebahagian manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Beliau menggesa media mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung status pelaksanaan manifesto BN yang didakwa masih belum ditunaikan kepada rakyat negeri itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved