Akmal Saleh mohon Anwar tangkap, dakwa orang 'sakau' duit Tabung Haji

LocalPolitics
23 Jul 2026 • 4:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Akmal Saleh mohon Anwar tangkap, dakwa orang 'sakau' duit Tabung Haji
Akmal Saleh 

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menangkap dan mengheret pihak yang didakwa 'sakau' duit Tabung Haji (TH).

Dr Muhammad Akmal berpandangan, rakyat berhak mengetahui individu atau pihak yang sanggup mengaut duit TH secara haram.

"Saya mohon kepada Perdana Menteri untuk tangkap dan dakwa 'orang' yang dikatakan 'sakau' duit TH. Rakyat berhak untuk tahu siapa yang 'sakau'.

"Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap TH telah dibuat, maka mohon dedah dan tangkap mereka yang 'sakau' kerana sejak zaman Perdana Menteri menjadi pembangkang lagi isu ini diperkatakan.

"Tetapi, sehingga hari ini tiada dakwaan dibuktikan terhadap mana-mana individu. Kepada Perdana Menteri, kami berharap untuk tangkap siapa yang 'sakau' itu," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi berkenaan.

Anwar memaklumkan, beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Jelasnya yang juga Menteri Kewangan, keputusan untuk menerbitkan laporan itu mengambil kira kedudukan TH yang bertapak baik dalam proses pemulihan ketika ini dan rakyat berhak untuk mengetahui kandungan laporan tersebut.

Beliau mendedahkan sebelum ini Jemaah Menteri telah pun memutuskan untuk menerbitkan laporan berkenaan, namun memandangkan ketika itu TH masih dalam proses pemulihan, dibimbangi keputusan tersebut akan membimbangkan penyimpan.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, pihaknya meletakkan Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussain dan pasukan baharu untuk membersihkan (perkara yang tidak kena) berdasarkan pandangan dan teguran laporan suruhanjaya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved